Indra Putra Mahayuddin sentiasa lakukan latihan ‘extra’ supaya mampu bersaing dengan pemain muda

565

Pemain tertua di Liga Super 2023 Indra Putra Mahayuddin yang beraksi untuk pasukan Kelantan United FC memberitahu bahawa beliau sentiasa melakukan latihan tambahan dan tidak mudah putus asa bagi memastikan beliau mampu bersaing dengan pemain yang lebih muda.

Perkara itu dibuktikan apabila beliau yang kini berusia 41 tahun mendapat kepercayaan ketua jurulatih Tomas Trucha sebagai kesebelasan utama dalam perlawanan pertama Liga Super yang menyaksikan mereka tewas tipis 1-0 kepada Selangor FC malam tadi.


“Memang bukan mudah untuk kekalkan kecergasan. Bagi saya sentiasa lakukan latihan ‘extra’ untuk saingi pemain-pemain sedia dan saya juga sentiasa tidak berputus asa, sentiasa ingin tunjukkan sesuatu.

InsyaAllah saya terus berikan yang terbaik untuk pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Indra mengakui pasukannya masih lagi sedang mencari persefahaman antara pemain-pemain dan berharap mereka dapat keserasian dengan segera supaya dapat bersedia untuk menghadapi banyak perlawanan yang mencabar.

“Harap kita dapat persefahaman itu dengan lebih cepat kerana kita nak menghadapi perlawanan yang sukar kerana seminggu perlu hadapi tiga perlawanan dan ini merupakan satu perkara yang sukar jadi setiap pemain perlu sentiasa bersedia.”

Tambahnya lagi, berdasarkan perlawanan malam tadi beliau mengakui masih banyak perkara yang mereka perlu perbaiki sebelum menghadapi perlawanan kedua dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila masih lagi berpeluang untuk bermain di Liga Super setelah sekian lama tidak beraksi di liga tertinggi Malaysia.

“Alhamdulillah, setelah sekian lama saya tak beraksi di Liga Super, saya berasa saingan liga semakin laju, perlukan komitmen yang tinggi dan bersyukur saya masih berada di sini.”