Medik ambil masa terlalu lama rawat Izham Tarmizi, pelanggaran di kepala patut diberi perhatian segera

5,145

Debut penjaga gol utama Sri Pahang FC, Izham Tarmizi bertukar menjadi tragis apabila beliau mengalami kecederaan serius selepas bertembung dengan salah seorang pemain Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Ia berlaku selepas Izham bertembung dengan pertahanan Negeri Sembilan FC, Hasbullah Abu Bakar pada minit-minit akhir separuh masa pertama.


Selepas insiden itu berlaku, kelihatan pasukan perubatan mengambil masa yang agak lama, kira-kira 10 minit sebelum membawa Izham keluar menggunakan pengusung untuk dibawa ke ambulans.

Ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan kecederaan di kepala adalah amat berbahaya dan sepatutnya dirawat dengan segera.

Dalam tempoh masa 10 minit, apa saja boleh berlaku sekiranya terdapat gegeran di bahagian kepala, lebih-lebih sekiranya terdapat impak di bahagian otak, yang boleh membawa maut.

Malah terdapat beberapa kes yang menyebabkan pelanggaran pemain yang menyebabkan kecederaan serius sehingga mendapat rawatan di hospital.

Antara kejadian berlaku apabila pemain Atletico Madrid, Fernando Torres mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain pertahanan lawan ketika Atletico Madrid menentang Deportivo di Liga Sepanyol.

Walaupun beliau mengalami kecederaan teruk di kepala akibat perlanggaran tersebut, namun tindakan pantas para pemain dan pasukan perubatan telah menyelamatkan Fernando Torres daripada berlaku kecederaan yang lebih teruk serta mengurangkan masa yang dibuang ketika perlawanan sedang berlangsung.

Jika di luar negara, sekiranya terdapat kecederaan di bahagian kepala pengadil akan segera menghentikan perlawanan dan mengarahkan medik supaya melakukan rawatan dengan segera.

Apa yang berlaku kepada Izham semalam haruslah dijadikan pengajaran supaya pasukan medik lebih peka dan pantas sekiranya berlaku kecederaan di kepala selepas ini.

Pada Isnin lalu, peminat Sri Pahang gembira dengan melihat perkembangan Izham selepas kelab itu memuat naik satu video menerusi Facebook rasmi memperlihatkan penjaga gol tersebut kini berada dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan lanjutan.

Semoga Izham cepat sembuh dan boleh menyertai rakan sepasukan dalam mengharungi Liga Super pada musim ini dengan pasukan Sri Pahang.