PIB FC kelab untuk gilap bakat muda, bukan untuk pemain mahu bersara

399

Ketua jurulatih baru pasukan PIB FC, Yusrizal Yusoff menjelaskan bahawa pasukannya adalah untuk menggilap bakat muda dan bukannya tempat untuk pemain yang berada di hujung karier.

Yusrizal berkata demikian apabila mendedahkan pemilihan barisan pemain untuk musim ini.


“Untuk pemilihan pemain bukan saya sendiri yang pilih tapi dipilih bersama barisan kejurulatihan yang akan membuat penilaian dan kata akhir yang akan menentukan pemain yang akan dipilih.

Sebab di PIB kita terapkan kita tak nak pemain yang nak bersara baru datang sini, sebab konsep kelab ini adalah kita mahu gilap bakat muda untuk naik ke liga atas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perkara itu dibuktikan apabila salah seorang pemain PIB pada musim lalu telah mendapat tawaran untuk beraksi bersama pasukan Perak FC yang beraksi di Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, Yusrizal mengakui saingan Liga M3 pada musim ini lebih kompetitif terutamanya apabila pihak penganjur Amateur Football League (AFL) menukar format dari kumpulan kepada saingan satu liga sahaja.

Walaupun menyedari musim ini lebih banyak pasukan membuat persiapan cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain profesional dari Liga Super, namun sebagai juara bertahan mereka meletak sasaran untuk mengekalkan kejuaraan sekaligus menjadi juara dua kali berturut-turut.

“Untuk memastikan kami bukan sahaja mampu beri saingan tapi mengekalkan kejuaraan, kami sudah pun mempunyai perancangan untuk setiap perlawanan yang akan dihadapi ini berdasarkan kekuatan pasukan.

Kita sudah ada perancangan mengenai corak permainan yang mana kita bermain samada dengan pemain baru atau pun dengan pasukan yang mempunyai pemain berpengalaman. Dalam tempoh beberapa hari ini kami akan teruskan latihan untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada sebelum saingan Liga M3 membuka tirai.”

Tambahnya lagi, untuk musim ini PIB mengekalkan 11 pemain dari musim lalu dan menambah ramai pemain baru termasuk pemain dari Liga Super dan Liga Perdana pada musim lalu.

PIB akan membuka tirai saingan Liga M3 pada 4 Mac ini apabila akan menentang Manjung City FC di tempat lawan.