Kami masih tertunggu-tunggu wang kemenangan Liga M3 musim lalu – Asyraf Borhanudin

1,873

Awal bulan lalu kecoh apabila terdapat berita yang mendakwa pasukan juara Liga M3 belum menerima wang hadiah walaupun saingan liga sudah pun berakhir beberapa bulan lalu.

Perkara itu turut diakui sendiri oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi yang berkata perkara itu berlaku apabila pihak penaja tidak menunaikan janji dan berkata sudah pun memaklumkan kepada pasukan terlibat mengenai kelewatan wang hadiah tersebut.


Dengan saingan Liga M3 bakal membuka tirainya pada hujung minggu ini, juara bertahan PIB FC mendedahkan mereka masih lagi belum dapat wang hadiah dan tertanya-tanya bilakah mereka akan mendapat hak mereka selepas berjuang mati-matian pada musim lalu.

“Kami pihak pengurusan dan pemain-pemain itu hak kita tapi kita dapat maklum balas dari pihak AFL yang menjanjikan wang hadiah itu akan diberikan sebelum saingan liga bermula, tapi sehingga kini kami masih tertunggu-tunggu mana wang itu.

Isunya sebab kita dah bermain mati-matian dan mengeluarkan wang jutaan ringgit untuk bersaing musim lepas, tapi wang hadiah belum dapat lagi,”

ujar Setiausaha Agung PIB FC iaitu Muhammad Asyraf Borhanudin.

Oleh itu, beliau berharap agar pihak AFL dapat melunaskan bayaran wang hadiah itu seperti yang dijanjikan iaitu sebelum 4 Mac ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata untuk memastikan pasukan PIB mampu mengekalkan kejuaraan Liga M3 pada musim ini, mereka telah melakukan rombakan dengan hanya mengekalkan 11 pemain dari musim lalu dan membawa masuk ramai pemain baru yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super dan Liga Perdana musim lalu.

“Untuk pasukan PIB musim ini lebih baik kerana kita mempunyai pemain-pemain berpengalaman dari Liga Super dan Liga Perdana.

Kita tahu musim ini akan menjadi lebih mencabar kerana kehadiran banyak pasukan yang mempunyai pemain berkualiti seperti Melaka FC yang membawa masuk penyerang naturalisasi negara Guilherme de Paula, Harini FT pula mempunyai ramai bekas pemain Liga Super termasuk penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha.

Bagaimanapun kita tetap yakin dapat bersaing dengan pasukan-pasukan ini sekaligus mengekalkan kejuaraan buat kali kedua.”

Beliau pada masa sama turut berkata, bagi memastikan dapat bentuk pasukan yang mantap mereka juga meningkatkan bajet pada musim ini yang mana mereka akan membelanjakan sekitar RM3 juta.

PIB akan membuka tirai saingan Liga M3 pada 4 Mac ini menentang Manjung City FC di Perak.