Hong Kong sah akan menentang Malaysia pada 28 Mac ini!

812

Selepas mencipta pelbagai kejayaan pada tahun lalu termasuk layak ke Piala Asia 2023, semakin ramai peminat bola sepak tanah air yang teruja mahu menyaksikan pasukan kebangsaan Malaysia turun beraksi.

Malah peminat skuad negara atau lebih dikenali sebagai Ekor Harimau Malaya sudah ternanti-nanti pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai tarikh dan venue perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong dan Turkmenistan.


Bagaimanapun pasukan Hong Kong sudah pun mengesahkan tarikh perlawanan menentang skuad Harimau Malaya yang dijadualkan akan berlangsung pada 28 Mac ini, manakala Turkmenistan pula pada 23 Mac di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Perkara itu diumumkan di laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Hong Kong (KHFA) yang turut menyenaraikan jadual pasukan kebangsaan mereka dari 20 hingga 29 Mac ini.

Malah mereka turut mendedahkan barisan pemain yang telah dipanggil untuk menyertai kem latihan berpusat.

Sumber: HKFA

Apa yang membuatkan ramai peminat tidak sabar menanti perlawanan menentang Hong Kong ini adalah kerana pasukan itu sebelum ini pernah dikendalikan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara ketika ini iaitu Kim Pan-gon.

Sebelum ini Pan-gon pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Hong Kong selama lima tahun iaitu dari 2012 hingga 2017 dan sepanjang tempoh itu pasukan itu pernah bertemu dengan Malaysia sebanyak lima kali dengan keputusan satu menang, satu kalah dan tiga keputusan seri.

Berdasarkan FIFA ranking semasa, Hong Kong berada di ranking ke-146 dunia, manakala Malaysia pula berada satu anak tangga di atas iaitu ke-145 dunia.

Kedua-dua pasukan ini sedang rancak mengatur perlawanan kerana sedang dalam perlumbaan untuk cuba menduduki kedudukan ranking 145 ke atas bagi mengelak perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2026.

Sumber: HK

Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak 30 dengan Malaysia berjaya menang sebanyak 14 kali, seri sembila kali dan kalah tujuh kali.

Dalam pada itu, sepanjang tahun 2022 pasukan Hong Kong telah menghadapi sebanyak 11 perlawanan antarabangsa dengan rekod empat kemenangan, dua seri dan lima kekalahan.

Manakala Malaysia pula telah mengharungi 14 perlawanan dengan rekod sembilan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Jika melihat berdasarkan rekod terdahulu dan semasa kedua-dua pasukan, skuad Harimau Malaya mempunyai sedikit kelebihan, namun perkara itu tidak membawa makna langsung menjelang perlawanan antara kedua-dua pasukan itu nanti.

Sumber foto: Malaysia

Anak buah Pan-gon tidak boleh memandang rendah dengan kemampuan anak buah Jorn Anderson kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Realitinya pasukan Malaysia berdepan sedikit tekanan kerana di mata peminat, perlawanan menentang Hong Kong adalah perlawanan wajib menang berdasarkan ranking semasa.

Sebelum itu, peminat kini ternanti-nanti senarai pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat dan pastinya ramai yang teruja kerana semua sedia maklum bahawa Pan-gon kini mempunyai pool players yang cukup ramai dan pastinya barisan kejurulatihan berdepan ‘masalah gembira’ iaitu memilih pemain terbaik.