Skuad Projek FAM-MSN musim ini akan diperkuat dengan 2 pemain warisan

1,627

Ketua jurulatih baru Skuad Projek FAM-MSN (SPFM), Noor Zaidi Rohmat memberitahu bahawa skuadnya pada musim ini akan diperkuat dengan dua pemain warisan iaitu Sean Daniel Van Dam dan Saffy Zikry.

Sean merupakan pemain kacukan Malaysia-Belanda, manakala Saffy pula merupakan pemain kacukan Malaysia-Cameroon dan mempunyai ketinggian 1.92 meter.


Menurut Zaidi, untuk saingan Piala MFL (Liga Simpanan B-23) musim ini, walaupun skuadnya dibarisi oleh pemain-pemain berusia muda berusia 17 dan 18 tahun, namun mereka tidak mahu sekadar memberi pendedahan kepada pemain tetapi juga mahukan keputusan.

“Itu cabaran paling besar kerana ada yang fikirkan pendedahan, ada yang mahukan keputusan. Untuk kami, kami mahukan kedua-duanya. Untuk makluman anda, kita ada 18 pemain berusia 18 tahun dan selebihnya bawah 18 tahun.

Skuad ini adalah persiapan untuk skuad B-19, jadi untuk persiapkan mereka ke arah itu kita perlu sediakan banyak elemen seperti fizikal, teknikal, taktikal dan psikologi mereka,”

katanya.

Zaidi mengakui skuad ini perlukan masa untuk menjadi sebuah skuad yang mantap, namun beliau dan barisan kejurulatihan yakin dengan kemampuan pemain mereka untuk mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim ini dan musim depan.

Dalam pada itu, Zaidi juga berkata mereka sudah pun melakukan persiapan pra-musim sejak dua bulan lalu termasuk melakukan siri perlawanan persahabatan bagi memastikan pemain bersedia sebelum saingan liga Piala MFL bermula.

“Pra-musim kita sudah buat jelajah di utara di mana kita bermain dengan pasukan Kedah Darul Aman FC, Penang FC B-23 dan beberapa pasukan Liga M3.

Alhamdulillah apa yang kita nak tengok pada pra-musim adalah pemahaman taktikal mereka dan tahap kecergasan mereka. Saya juga yakin untuk saingan liga ini kita sudah bersedia cuma kita belum 100 peratus kerana kita perlu tahu pembangunan pemain muda perlukan masa, tapi kita akan melihat peningkatan prestasi berterusan sepanjang musim ini.”

Skuad Projek FAM-MSN akan membuka tirai saingan Piala MFL pada 2 Mac ini menentang PDRM FC II.