Perlawanan menentang Kedah sesukar lawan JDT, Liridon akan turun bermain esok – Tomislav Steinbruckner

1,331

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menjangkakan perlawanan kedua Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC akan menjadi cabaran buat anak buahnya seperti ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun berharap mereka boleh memberi saingan yang lebih hebat pada perlawanan tersebut memandangkan beberapa pemain yang tidak boleh turun bermain sebelum ini boleh beraksi.


“Selepas menentang JDT kami berhadapan satu lagi perlawanan sukar menentang Kedah di Stadium Darul Aman, saya jangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar seperti perlawanan pertama tempoh hari.

Keputusan perlawanan sebelum ini bukanlah apa yang saya mahukan, tetapi esok saya rasa kami boleh berikan lebih lagi kerana ada satu atau dua orang pemain yang boleh diturunkan semula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, beliau berkata bahawa pemain tengah, Liridon Krasniqi yang tidak dibenarkan beraksi menentang JDT sebelum ini akan turun beraksi pada perlawanan esok.

Katanya, beliau memerlukan seseorang seperti Liridon untuk mengawal bahagian tengah setelah kehilangan Habib Haroon yang tersisih akibat kecederaan.

“Saya rasa Liridon akan mulakan permainan esok, kita ada masalah di bahagian tengah kerana Habib Haroon cedera selama tiga minggu.

Kita perlukan pemain yang berkualiti di barisan tengah kerana ia adalah posisi yang penting dalam pasukan.”

Sementara itu, beliau sedikit sebanyak tahu mengenai gaya permainan ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain kerana pernah bekerja bersama musim lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menganggap bahawa perlawanan tersebut merupakan pertembungan beliau dan Nafuzi tetapi adalah misi kedua-dua pasukan untuk merebut tiga mata.

Beliau mahu setiap pemain memberikan 100 peratus pada perlawanan itu seperti yang ditunjukkan ketika menentang JDT.