Kita mahu sukan ping pong turut dapat sambutan di sekolah lain selain sekolah Cina supaya lebih ramai bakat – Chin Kuen Liang
Presiden Persatuan Ping Pong Amateur Kedah, Dr Chin Kuen Liang berharap sukan itu dapat dikembangkan secara lebih meluas lagi kepada kaum selain Cina daripada peringkat sekolah.
Katanya, ketika ini, sukan ping pong kebanyakannya hanya dimainkan di sekolah-sekolah Cina berbanding sekolah-sekolah lain.
“Di negeri Kedah ini kita ada ramai juga pemain dari kalangan kaum Melayu, bekas juara kebangsaan, Muhamad Ashraf Haiqal Rizal juga adalah dari Kedah, cuma penglibatan kaum India saja yang agak kurang.
Sekarang kita mahu galakkan penglibatan kaum lain di sekolah pula kerana kebiasaannya di sekolah Cina saja yang ada sukan ini, kami mahu lebih ramai lagi anak muda yang bermain ping pong sejak kecil,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sebagai presiden persatuan, beliau menyasarkan mahu mencungkil lebih ramai lagi bakat tempatan supaya boleh mewakili negeri dan juga negara.
Katanya, selepas menjadi pemain, atlet boleh meneruskan lagi kerjaya mereka dalam sukan tersebut dengan menjadi jurulatih.
“Selepas mewakili negeri atau negara, pemain boleh menjadi jurulatih pula dan jadikan ia sebagai satu kerjaya.
Macam sebelum ini kita ada seorang bekas pemain negeri yang sekarang menjadi pembantu jurulatih dan sparring partner di Dubai.”
Katanya, ia boleh menggalakkan penyertaan lebih ramai lagi orang dalam sukan ini.
Menurut Kuen Liang, pihaknya akan menyediakan lebih banyak lagi gelanggang di negeri ini supaya dapat menganjurkan lebih banyak program serta dapat mencungkil dan melatih lebih ramai pemain dari negeri ini.