PDRM tak pernah ketinggalan lahirkan atlet untuk negara, harap ramai bakat baru lahir dalam sukan ping pong – ACP Ahmad Shukri
Pengelola kontinjen ping pong Kedah, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berharap Kejohanan Ping Pong Piala Ketua Polis Negara dapat melahirkan lebih banyak pemain berbakat yang dapat mewakili negara satu hari nanti.
Menurutnya, aktiviti sukan seperti itu sering diadakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tujuan mewujudkan aktiviti sihat dalam kalangan warga polis di samping mencungkil bakat-bakat baharu.
“Bagi kami di PDRM, kejohanan seperti ini sudah menjadi tradisi setiap tahun dengan pelbagai jenis sukan diadakan.
PDRM tidak pernah ketinggalan untuk menampilkan pemain baharu dalam pelbagai jenis sukan, jadi harapan saya untuk kejohanan ping pong ini supaya kita dapat melahirkan ramai lagi bakat baharu yang boleh mewakili PDRM, negeri atau negara,”
Menurutnya, kejohanan itu disertai oleh 19 kontinjen daripada seluruh negara.
Tambah beliau, pihaknya telah bekerjasama dengan Persatuan Ping Pong Amateur Kedah untuk menganjurkan kejohanan itu bagi memastikan ia dilangsungkan dengan lancar dan profesional.
“Tahun ini, apabila Kedah menjadi tuan rumah kejohanan ini, kita bekerja sama erat dengan Persatuan Ping Pong Amateur Kedah.
Mereka membantu dari segi pengendalian, teknikal dan pengadilan, saya rasa ini adalah satu langkah terbaik untuk pastikan kejohanan ini seperti bertaraf antarabangsa.”
Selain daripada kejohanan ping pong, beliau berkata acara sepak takraw juga turut dianjurkan oleh tuan rumah yang sama tahun ini.