Tia Theseira bangga dapat kembali ke tanah air untuk sumbang keringat buat Malayan Tigress

814

Pemain berpangkalan di Sepanyol, Tia Theseira merupakan salah seorang pemain yang tersenarai dalam 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad bola sepak wanita kebangsaan bawah B-20.

Tia sebelum itu meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan untuk bermain di Liga Sepanyol bersama kelab Pozuelo de Alarcon, walaupun turut mengakui dirinya berhadapan dengan beberapa kesulitan di negara Eropah itu.


“Saya juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan ‘game play’, bahasa dan orang di sana. Tetapi, saya bangga kerana telah dapat kembali ke tanah air dan bermain untuk negara tercinta.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tidak dinafikan Sepanyol merupakan antara negara Eropah yang biasanya berlaku isu perkauman terutamanya terhadap orang Asia dan Afrika, bagaimanapun beliau bersyukur apabila kedatangannya di sana disambut baik rakan sepasukan.

“Saya secara peribadinya tidak pernah mengalami situasi sedemikian (isu perkauman). Saya dan rakan sepasukan di Sepanyol tidak pernah mengalami isu tersebut. Bagaimanapun, di sesetengah tempat mungkin ada mengalami isu itu.

Tetapi saya rasa sebagai orang Asia, rakan-rakan sepasukan sangat mengalu-alukan kedatangan saya dalam pasukan.”

Di samping itu, Tia turut mengulas tentang pelantikan ketua jurulatih Malayan Tigress baharu iaitu Soleen Al-Zoubi yang berasal dari Jordan, dan berharap akan ada lebih banyak penambahbaikan yang akan dilakukan dalam skuad bola sepak wanita kebangsaan.

“Saya rasa ianya bagus untuk membawa masuk orang dari luar negara yang ingin cuba menaikkan bola sepak Malaysia. Ini perkara yang baik apabila kita meletakkan banyak usaha terutamanya dalam pasukan wanita lebih-lebih lagi untuk wanita muda. Jadi, saya rasa kita akan melihat lebih banyak penambahbaikan dalam pasukan bola sepak wanita.”

Selain Tia, turut bersama pasukan kebangsaan ialah Lauren Hoh Ruyi yang berpangkalan di Thailand.

Skuad B-20 negara akan diuji dalam satu perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada hari ini (Khamis) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.