Zainal Abidin Hassan bantu beberapa bekas pemain Melaka United FC ke Imigresen FC

570

Pengarah Teknikal pasukan Imigresen FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui membantu beberapa bekas pemain Melaka United FC untuk diserapkan ke Imigresen FC yang akan bersaing di Liga M3 musim ini.

Menurut Zainal Abidin, selepas ramai bekas pemain dari kelab bermasalah itu tidak mendapat tawaran dari mana-mana kelab lain di Liga Super, mereka telah menghubunginya untuk bantuan dan beliau tidak lokek untuk membantu sedaya mungkin.


“Ada beberapa pemain Melaka United yang tidak dapat tawaran lain di Liga Super menghubungi saya untuk bermain bersama Imigresen FC dan Alhamdulillah saya dapat membawa masuk beberapa pemain yang pernah bermain di bawah kendalian sahaja dahulu untuk berada di sini.

Bukan saya sahaja yang membantu mereka, tapi mereka juga perlu membantu pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau dan juga ketua jurulatih Imigresen iaitu Mat Zan Mat Aris pernah mengendalikan pasukan Melaka United, oleh itu ia membuatkan tugas mereka lebih mudah untuk membuat perancangan dan taktikal pasukan kerana sudah memahami antara satu sama lain.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan Imigresen pada musim ini, Zainal Abidin menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan pasukannya untuk menjadi pencabar utama kejuaraan Liga M3 musim ini.

“Saya dan Coach Mat Zan banyak buat kerja rumah bersama pengurusan kelab, bahawa jika kita mahu melangkah lebih jauh lagi kita perlu perbaiki pasukan dan mengambil beberapa pemain bagi mengisi kekosongan.

Alhamdulillah atas persetujuan pihak pengurusan, semua permintaan kami telah dikotakan dan telah dapat pemain-pemain yang akan membantu pasukan Imigresen tampil lebih hebat pada musim ini.”

Beliau juga berkata pada musim ini pemain-pemain perlu bekerja dengan lebih keras lagi bagi memastikan sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan untuk berada pada kedudukan Top 2 dapat dicapai.

Ini kerana beliau berkata sekiranya pada musim lalu mereka berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir dalam keadaan yang tidak sempurna, namun untuk musim ini mereka telah melakukan persiapan yang cukup rapi, jadi tiada alasan untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik sepanjang musim ini.

Imigresen akan membuka tirai saingan Liga M3 menentang BRM FC pada 4 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.