Saya puas hati dengan permainan Liridon, beliau bawa dimensi baharu dalam pasukan – Tomislav Steinbruckner

1,204

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan persembahan pemain baharunya, Liridon Krasniqi yang diturunkan buat kali pertama selepas kekalahan kepada Kedah Darul Aman FC 1-0 sebentar tadi.

Menurutnya, Liridon membawa satu dimensi baharu buat pasukannya di bahagian tengah.


“Liridon tidak bermain beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini dan dalam tempoh dua tiga bulan terakhir beliau menjalani sesi latihan peribadi bersama jurulatih kecergasan.

Saya berpuas hati dengan cara beliau bermain pada malam ini kerana beliau membawa dimensi baharu dalam pasukan,”

katanya.

Steinbruckner mengakui pasukannya merasai kehilangan Habib Haroon yang merupakan pemain penting dalam menyerap asakan pihak lawan.

Tambahnya, keupayaan Habib yang mampu melakukan hantaran yang baik serta merembat dari jauh juga membuatkan pasukannya rindu akan beliau.

Dalam pada itu, beliau merasakan bahawa pasukannya patut mendapatkan keputusan lebih baik selepas menguasai sebahagian besar permainan.

“Sudah tentu bila pasukan tewas dengan kesilapan pada saat akhir saya agak kecewa tetapi saya tidak boleh merungut tentang persembahan pemain.

Saya rasa kami sepatutnya layak dapat lebih lagi berbanding kekalahan, bagi saya kedua-dua pasukan bermain dengan baik pada malam ini.”

Dalam pada itu, beliau memuji persembahan pemain sayap gantian, Syafik Ismail yang sentiasa menggerakkan permainan.

Katanya, beliau sering bermain dengan 100 peratus dan memiliki kelajuan serta licik, cuma rembatannya jarang menepati sasaran.