Kami mampu bermain lebih baik lagi, pemain belum main seperti apa saya mahukan dengan konsisten – Nafuzi Zain 

619

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun mencatat enam mata dalam dua perlawanan pertama Liga Super.

Katanya, beliau tahu kemampuan sebenar anak-anak buahnya dan percaya mereka akan menjadi lebih baik dalam setiap perlawanan.


“Kita mampu bermain dengan lebih baik lagi, saya tahu kemampuan pasukan ini, mungkin ada sebahagian pemain yang masih gementar lagi.

Tetapi saya percaya perkara ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa, bagi saya memperbaiki permainan dengan kemenangan adalah lebih baik daripada memperbaiki permainan dengan kekalahan,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Menurutnya, pertukaran pemain adalah kunci kemenangan kepada pasukannya pada perlawanan itu.

Dalam pada itu, beliau mengakui untuk mengubah tabiat pemain adalah satu cabaran untuknya dalam membawa pasukan baharu.

“Sukar untuk kita ubah tabiat pemain, kita mahu bermain mengikut taktikal yang kita mahukan jadi pemain perlu ubah tabiat mereka.

Tetapi bagi saya dalam jangka masa pendek ini mereka tunjukkan peningkatan yang baik jadi itu adalah satu perkara yang positif.”

Walaupun sudah memenangi dua perlawanan pertama, beliau berkata masih terlalu awal untuk menentukan hala tuju pasukan kerana terdapat 22 perlawanan lagi yang perlu dilalui.

Beliau berkata, anak buahnya masih belum bermain seperti apa yang dimahukannya dengan konsisten dan masih terdapat lagi ruang untuk peningkatan.