Saya lihat Kedah ada potensi julang trofi, sebab itu saya sertai pasukan ini – Lee Tuck

833

Pemain Kedah Darul Aman FC, Lee Tuck menyasarkan untuk memenangi trofi bersama pasukan itu pada musim ini.

Menurutnya, beliau menyertai Kedah kerana melihat potensi pasukan itu, selain sejarah serta jurulatih yang membawa pasukan.


“Sejak bermain di Malaysia, saya tidak pernah memenangi trofi lagi, jadi ia adalah satu-satunya sasaran saya.

Ia juga adalah sebab mengapa saya menyertai Kedah, saya lihat pasukan ini mempunyai potensi untuk julang trofi, selain itu Kedah juga mempunyai sejarah yang besar selain jurulatih yang saya memang kenali,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui Kedah ketika ini masih belum berada di tahap yang terbaik dan masih terdapat ruang untuk diperbaiki.

Katanya, beliau dapat melihat kualiti serta keserasian baik yang ditunjukkan dalam pasukan setakat ini.

“Ia adalah permulaan musim jadi kami tidak berada di tahap yang paling baik, saya yakin banyak juga pasukan lain yang tidak berada dalam keadaan yang terbaik ketika ini.

Tetapi anda boleh lihat kualiti dan keserasian yang kami ada, mungkin bukan dalam 90 minit keseluruhan tetapi kami sedang perbaiki.”

Dalam pada itu, beliau mengakui gembira berada di Kedah dengan penyokong yang penuh semangat serta sokongan yang diterima daripada pihak pengurusan.

Tambahnya, beliau amat teruja untuk membawa kembali zaman kegemilangan Kedah ketika satu masa dahulu.