Imigresen FC mahu teruskan kecemerlangan musim lalu, sasar Top 2 Liga M3 musim ini!

299

Saingan Liga M3 pada musim lalu menyaksikan banyak kejutan yang berlaku termasuk pasukan underdog seperti Imigresen FC (IFC) berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Berikutan kejayaan itu, pihak pengurusan Imigresen mahu kecemerlangan itu diteruskan pada musim ini dengan melakukan persiapan cukup rapi termasuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengurus Pasukan Imigresen iaitu Mohd Iqmal Haqimie Abdullah, untuk saingan Liga M3 musim 2023 mereka meletakkan sasaran pasukan untuk berada pada kedudukan Top 2.

“Sasaran utama kita adalah mahu kekalkan KPI di peringkat separuh akhir dan InsyaAllah berada di Top 2 untuk Liga M3 musim ini.

Pemain baru, pemain lama dengan pengurusan baru dan penaja baru itu akan menguatkan keluarga IFC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bagi memastikan kesinambungan kejayaan musim lalu, mereka telah mengekalkan ketua jurulatih Mat Zan Mat Aris dan juga membawa masuk lagenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai Pengarah Teknikal.

Selain menguatkan pasukan, Iqmal Haqimie juga berkata pihaknya kini turut memberi tumpuan untuk lebih dekat lagi dengan peminat.

“Sebelum ini kita adalah pasukan underdog dan kurang berpengalaman dan kita belajar dari pasukan-pasukan berpengalaman di Liga Super bagaimana pasukan itu berkembang. Kita belajar dan mengambil perkara-perkara positif dalam industri bola sepak kita terjemahkan pada tahun ini.”

Pendekatan yang dilakukan oleh pasukan berjaya menarik ramai peminat apabila mereka berjaya menjual lebih 3,000 helai jersi ketika pelancaran jersi pasukan itu untuk musim ini.

“Ya, bila kita lancarkan jersi musim ini baru kita sedar kita mempunyai penyokong di peringkat dalaman (jabatan Imigresen) dan juga penyokong dari luar yang meminati pasukan IFC. Oleh sebab itu saya rasa jualan jersi boleh mencapai lebih 3,000 helai dalam tempoh sebulan.”

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa pihak pengurusan mengamalkan falsafah kekeluargaan yang mana mereka sangat menitik beratkan kebajikan semua warga pasukan.

“IFC mengamalkan falsafah keluarga IFC, jadi apa-apa isu berkenaan gaji atau hubungan antara pemain dan pengurusan kita bincang secara keluarga dan profesional.”

Imigresen akan membuka tirai saingan Liga M3 menentang BRM FC pada 4 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.