Tidak puas hati kalah di tangan JDT, penyokong KL City mengamuk
Kekalahan KL City FC ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras semalam menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong ‘casual’ KL City.
Pasukan The City Boys sebelum itu ditewaskan skuad Harimau Selatan dengan keputusan 3-0 pada aksi keduanya di Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Melalui satu hantaran yang tular di media sosial semalam, kelihatan bas penyokong JDT itu telah dibaling batu oleh penyokong KL City selepas pasukan itu gagal meraih sebarang mata.
Rata-rata netizen di media sosial juga meluahkan rasa kesal terhadap sikap tidak beradap itu dan menyifatkan ianya sebagai ‘perkara biasa’ dilakukan oleh penyokong KL City sekiranya pasukan kesayangan mereka tewas.
Pada musim lalu penyokong ‘casual’ KL City juga pernah mencetuskan kekecohan ketika perlawanan menentang Selangor FC.
Insiden pergaduhan itu yang berlaku di luar perkarangan stadium telah menyebabkan beberapa penyokong tidak bersalah mengalami kecederaan.
Memasuki musim baru liga, ramai yang mengharapkan insiden seperti ini tidak berlaku lagi kerana ia akan mencemarkan kemeriahan liga bola sepak tanah air.
Bagaimanapun harapan itu meleset apabila insiden tidak diingini pertama berlaku pada musim ini telah berlaku di Ipoh, Perak selepas perlawanan membabitkan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan skuad The Bos Gaurus dibelasah 4-1.
Susulan itu, penyokong ‘casual’ Perak bertindak keterlaluan apabila melakukan provokasi dan terdapat laporan yang mengatakan mereka mengepun dan memukul penyokong Kedah di luar stadium.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman telah menyeru supaya penyokong bersikap hemat dan tidak melakukan sebarang kekecohan kerana FAM akan mengenakan tindakan kepada kelab yang bertanggungjawab.
Ingat, sukan bola sepak adalah untuk menyatupadukan bukannya untuk memecah belahkan penyokong.
Buang sikap samseng apabila pergi ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak kerana ia turut dihadiri oleh penyokong dari pelbagai lapisan umur.
Jangan tindakan ‘bodoh’ segelintir penyokong akan menyebabkan kelab tidak dibenarkan beraksi di hadapan penyokong sendiri nanti.