Sasaran tinggi yang diletakkan pengurusan kelab tak beri tekanan, tapi saya anggap sebagai cabaran – Nasriq Baharom

336

Ketua pasukan Imigresen FC (IFC), Nasriq Baharom tidak melihat sasaran tinggi yang diletakkan pihak pengurusan untuk mereka adalah satu tekanan sebaliknya beliau menganggap perkara itu sebagai cabaran buat dirinya dan rakan sepasukan.

“Bagi saya ia bukanlah satu tekanan tapi satu cabaran bagi kami, sebab tahun lepas kita meletakkan sasaran yang tinggi tapi kita berjaya sampai ke separuh akhir.

Tahun ini sasaran kita adalah untuk pergi ke peringkat lebih tinggi. Saya pun sebagai pemain harap dapat bantu pasukan Imigresen untuk pergi ke liga lebih tinggi iaitu layak ke Liga Super musim depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk cuba mencapai sasaran tersebut, Nasriq berkata mereka telah menjalani latihan pra-musim hampir dua bulan termasuk mengharungi beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan.


Selain itu, mereka turut membawa masuk ramai pemain-pemain baru berkualiti dan berpengalaman dari Liga Super seperti Ashmawi Yakin dan Syamim Yahya.

“Tahun ini pemain-pemain yang kita bawa masuk lebih bagus, cuma pemain baru yang datang perlu cepat sesuaikan diri dengan pasukan.

Setakat ini sumbangan (pemain baru) terbaik sebab kita tak risaukan prestasi dan pengalaman kerana mereka ini adalah dari Liga Super. Saya cuma harapkan keserasian itu dapat cepat.”

Dalam pada itu, beliau mengakui persaingan Liga M3 pada musim ini lebih mencabar dengan banyak pasukan yang melakukan persiapan yang cukup rapi.

Namun beliau menjangkakan pasukan Harini FT, Sains FC dan Armed Forces FC antara pasukan yang mampu jadi pencabar utama musim ini.

Imigresen akan membuka tirai saingan Liga M3 mereka menentang BRM FC pada 4 Mac ini di Stadium Ipoh, Perak.