Lauren Hoh Ruyi pasang misi bangkitkan Malayan Tigress

554

Pemain berpangkalan di Thailand, Lauren Hoh Ruyi merupakan salah seorang pemain yang tersenarai dalam 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad bola sepak wanita kebangsaan bawah B-20.

Lauren yang juga merupakan tonggak utama dalam pasukan Thailand menyifatkan kelebihan yang dimilikinya ketika bermain di luar negara akan menjadikan dirinya seorang pemain yang versatil seperti yang dimahukan oleh jurulatih.


“Terdedah dengan permainan yang berbeza dan berjumpa dengan orang-orang dari seluruh dunia yang mempunyai perbezaan budaya dan latar belakang telah membantu saya untuk berkembang sebagai seorang pemain.

Selain itu, saya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan secara keseluruhan dan menjadi seorang pemain yang lebih baik.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengulas tentang bola sepak wanita Malaysia, pemain pertahanan Malayan Tigress itu melihat skuad negara mempunyai peluang untuk sesuatu yang ‘besar’ pada masa hadapan dengan dirinya yang sudah mula mendapat sokongan dan perhatian dari para penyokong.

“Pergi ke mana-mana kejohanan pun sudah semestinya saya mahukan kemenangan dan memastikan dapat layak ke pusingan seterusnya.

Namun, dalam gambaran yang lebih besar kami mahu membawa skuad bola sepak wanita Malaysia ke satu tahap yang dapat membangkitkan lagi sokongan sekaligus mengambil peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah dalam bola sepak wanita. Perlu menang dan mendapat perhatian adalah antara faktor yang diperlukan untuk generasi (pemain bola sepak wanita) akan datang di Malaysia.”

Lauren juga turut berkongsi kebarangkalian ada liga baharu yang akan diperkenalkan mungkin pada pertengahan tahun ini dan jurusan yang akan diterapkan juga akan memberi peluang kepada wanita Malaysia untuk sesuatu yang lebih besar.

Pada Khamis, skuad Malayan Tigress berjaya menjulang kejayaan pada aksi persahabatan Tier 2 menentang Mongolia yang menyaksikan skuad pelawat dibelasah 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.