Sukan ping pong tak ramai yang mahu taja, kami harap KBS masukkan ping pong dalam Sukma 2024 – Michael Tiah

176

Presiden Persatuan Ping Pong Pulau Pinang, Datuk Michael Tiah mengakui sukar untuk mendapatkan pihak yang berminat untuk menaja dalam sukan itu.

Katanya, kebiasaannya penaja mahu melihat prestasi terlebih dahulu, justeru menyebabkan pihaknya sendiri yang terpaksa mengeluarkan duit poket.


“Sukan ping pong bukan seperti badminton yang banyak pihak mahu menaja, dalam ping pong jika tiada prestasi maka tiada pihak mahu taja, tetapi jika tiada penaja bagaimana mahu tunjukkan prestasi?

Anggaran perbelanjaan persatuan kami kira-kira RM200,000 setahun, saya sebagai presiden akan pergi cari dana penajaan tetapi jika tidak cukup terpaksalah keluarkan wang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, ketika zaman sebelum Covid-19 dahulu, sukar untuk mendapatkan penaja, tetapi setelah wabak tersebut melanda semakin sukar untuk mendapatkan penaja kerana banyak syarikat yang memotong perbelanjaan.

Sementara itu, beliau berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memasukkan sukan ping pong dalam kejohanan Sukma 2024.

“Disebabkan ping pong ini sukan pilihan jadi ia tidak diadakan tetapi persatuan-persatuan ping pong telah menyuarakan perkara ini.

Kami telah meminta pertolongan daripada pihak KBS, mereka harus bantu promosikan sukan ini.”

Dalam pada itu beliau berkata bahawa untuk membangunkan sukan ping pong di negeri-negeri lain adalah sukar kerena ia lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang.

“Jika ada pemain kita berusia 13 tahun yang mempunyai prospek, ibu bapanya sukar untuk lepaskan menjalani latihan di Bukit Jalil kerana tiada tempat tinggal sebagainya.

Jika pemain di Selangor atau Kuala Lumpur tidak mengapa kerana ia berdekatan.”

Dalam pada itu, bendahari persatuan, Neoh Hin Peng berkata, pihaknya berusaha sendiri untuk meningkatkan tahap pemain-pemain di bawah persatuan itu dengan mengambil jurulatih luar negara seperti Taiwan dan Filipina.

Katanya, pihaknya memerlukan lebih banyak wang lagi untuk menghantar para pemain berlatih di luar negara menjalani latihan bagi meningkatkan tahap permainan.

Beliau berharap persatuan itu dapat melahirkan ramai pemain yang boleh mewakili negara pada masa hadapan.