Malaysia ada potensi dalam ping pong, tetapi ramai pemain berbakat berhenti lepas masuk universiti – Julius Esposo

176

Jurulatih ping pong Pulau Pinang, Julius Esposo menyifatkan Malaysia mempunyai ramai pemain yang berpotensi dalam sukan itu namun ramai yang berhenti bermain apabila melangkah ke universiti.

Jurulatih yang berasal dari Filipina itu berkata, beliau perasan akan ‘budaya’ itu ketika mula melatih di Malaysia.


“Saya rasa Malaysia ada potensi yang besar dalam sukan ping pong, tetapi sudah tentu ada ruang untuk diperbaiki.

Tetapi saya perasan ‘budaya’ di sini apabila mereka mencecah satu peringkat umur di mana mereka perlu fokus kepada universiti, ramai pemain yang berbakat akan berhenti bermain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Julius juga merupakan bekas jurulatih skuad kebangsaan Malaysia dan pernah membantu negara mendapatkan pingat gangsa pada Sukan SEA 2019.

Beliau mengakui bahawa Malaysia mempunyai ‘scene’ ping pong yang lebih terususun berbanding negara kelahirannya itu.

“Saya rasa di Malaysia adalah lebih tersusun, di Filipina anda perlu pergi ke kelab ping pong untuk bermain.

Bila asas tidak begitu bagus, anda akan ketinggalan pada peringkat elit, itulah perbezaan antara Filipina dan Malaysia.”

Jelasnya, tugas melatih pemain muda adalah berbeza berbanding melatih pemain senior, di mana pemain muda perlu dibentuk dari asas seperti skil, sikap dan budaya dalam sesi latihan.

Untuk pemain senior pula, jurulatih harus membimbing mereka untuk menjadi pemain lebih baik dengan skil yang mereka sudah ada.