Saya gurau saja pasal penyokong Liverpool, saya sebenarnya cari lelaki yang berpendidikan – Intan Sarah

4,065

Pemain bola sepak wanita Kelana United FC, Intan Sarah Anisah mengakui kata-kata negatif yang diterimanya di media sosial sedikit mengganggu dirinya.

Walaubagaimanapun, beliau kini tidak terlalu memikirkan perkara itu dan hanya mengendahkan kecaman yang diterimanya.


“Dulu memang ia mengganggu, sekarang ya juga tetapi tidaklah sehingga tak boleh tidur, cuma apabila saya lihat perkara seperti itu saya akan letak tanda soal saja.

Mulut orang tak boleh tutup dan saya juga adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan jadi perlu belajar lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Intanserah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya tentang tidak mahu jodoh dari kalangan peminat Liverpool yang menerima banyak kecaman dari peminat kelab itu.

Katanya, beliau hanya bergurau tentang perkara itu tetapi memang berniat untuk mencari jodoh.

Jelasnya, beliau sebenarnya mementingkan jejaka yang mempunyai pelajaran yang baik.

“Memang ramai penyokong Liverpool yang marah tentang perkara itu tetapi saya sebenarnya bergurau saja.

Lelaki yang tidak minat bola pun tidak mengapa tetapi asalkan mempunyai pelajaran yang baik.”

Dalam pada itu, Intan berkata beliau mahu menumpukan perhatian kepada bola sepak pada tahun ini kerana futsal wanita tidak begitu aktif di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, beliau mahu fokus kepada bola sepak pada tahun ini dan mencuba sedaya upaya untuk terpilih mewakili Malaysia.

Tambahnya, beliau yakin bola sepak wanita di Malaysia sedang meningkat naik dengan ketibaan jurulatih skuad wanita baharu, Soleen Al-Zou’bi.