Saya masih belum jumpa komposisi kesebelasan utama yang dimahukan, kita perlu penyerang sebenar – Fandi Ahmad

268

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui beliau masih belum menjumpai komposisi kesebelasan utama yang dimahukan lagiselepas tiga perlawanan pertama yang dilalui.

Menurutnya, ketiadaan beberapa pemain akibat kecederaan menyebabkan pasukannya kekurangan kualiti terutama di bahagian serangan.


“Saya masih belum jumpa komposisi kesebelasan utama kerana kita masih ada dua atau tiga pemain yang cedera seperti Lucas Silva dan Shamie Iszuan, dan ada beberapa pemain yang bermain hari ini sebenarnya baru baik dari kecederaan.

Setakat ini kita kekurangan kualiti kerana barisan serangan kita cipta peluang tetapi tidak jaringkan gol, jadi kita perlukan penyerang sebenar, saya harap kedua-dua pemain itu boleh kembali,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium MBPJ yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sementara itu, beliau mengakui terkilan tidak membawa pulang tiga mata selepas mendahului sehingga minit-minit terakhir permainan.

Menurutnya, mereka memang hadir untuk misi tiga mata tetapi tetap bersyukur dapat mencuri satu mata di gelanggang lawan.

“Kita harus bersyukur kerana kita dah lakukan yang terbaik, lawan Selangor memang sukar mereka tidak putus asa sehingga akhir perlawanan.

Tadi pun hujan jadi agak sukar untuk bermain, kita bermain dengan serangan balas dan ia membuahkan hasil.”

Menurut Fandi, mereka berjaya menutup ruang di bahagian sayap Selangor sehingga memaksa kedua-dua sayap lawan, Faisal Halim dan Hein Htet Aung betukar posisi.