Jaringkan gol bukan tugas barisan serangan saja, penjaga gol pun boleh juga – Faisal Halim
Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim tidak risau beliau masih belum berjaya menjaringkan gol untuk pasukan baharunya itu dan yakin masanya akan tiba.
Menurutnya, tugas menjaringkan gol bukanlah terletak di bahu pemain serangan semata-mata dan apa yang penting buatnya adalah untuk membantu pasukan mencatatkan kemenangan.
“Sudah tentu saya mahu jaringkan gol kerana ia dapat memberi semangat, kekuatan serta kepuasan untuk diri tetapi kalau kita lihat musim lalu pun saya tidak jaringkan gol dalam tiga perlawanan pertama.
Tugas menjaringkan gol bukan sahaja terletak kepada penyerang tetapi semua pemain juga perlu usaha, penjaga gol sekalipun,”
Faisal berkata, beliau masih lagi mencari rentak sebenar bersama pasukan dan tidak berasa sedih gagal menjaringkan gol setakat ini.
Katanya, perjalanan liga masih jauh lagi dan pemain masih membentuk persefahaman dalam pasukan.
“Persefahaman masih lagi belum sempurna dan kami setiap hari berusaha untuk tingkatkan lagi benda itu.
Ia bukan satu perkara yang mudah untuk dibentuk tetapi kita masih ada perjalanan yang panjang sehingga Disember nanti.”
Sementara itu, beliau berkata sekiranya dapat menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya menentang Penang FC nanti beliau pastinya akan berasa gembira.
Namun apa yang penting menurutnya adalah pasukan berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu.