Kelab Liga Indonesia dibenar daftar ‘unlimited’ pemain import dan hanya benar 2 pemain naturalisasi setiap kelab

1,226

Bola sepak Indonesia telah menyaksikan pertukaran pucuk pimpinan tertinggi apabila Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) kini diterajui oleh Erick Thohir untuk penggal 2023-2027.

Erick tidak mengambil masa lama untuk melakukan perubahan apabila telah mengumumkan beberapa perubahan baru membabitkan saingan liga domestik.


Antara perubahan yang menarik perhatian adalah setiap kelab kini dibenarkan untuk mendaftarkan seberapa banyak pemain import yang dimahukan sekiranya kelab itu mampu, tapi ia tidak bermakna mereka dapat gunakan kesemua pemain import tersebut.

Sebaliknya kelab akan hanya dibenarkan menyenaraikan 4+1 (slot ASEAN) pemain import sahaja dalam setiap perlawanan.

Pada masa sama, setiap kelab juga dibataskan dengan hanya dibenarkan untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi sahaja.

Di Liga Super Malaysia juga setiap kelab dibenarkan untuk menurunkan lima pemain import juga tetapi ia dipecahkan kepada 3+1(slot Asia)+(slot ASEAN) di atas padang pada satu masa dan hanya tambahan seorang pemain di bangku simpanan. Bagaimanapun, untuk pemain naturalisasi pula tiada sebarang had diletakkan.

Perubahan yang dilakukan di Liga Indonesia mengenai kuota pemain import ini dilihat sebagai tindakan ‘fair play’ buat semua kelab kerana jika sesebuah kelab itu mampu menandantangani 11 pemain import sekali pun mereka tidak boleh menurunkan kesemua pemain itu.

Tindakan ini juga akan memberi lebih ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk mendapat tempat dalam skuad utama sekaligus akan memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan Indonesia juga.

Dalam pada itu, selain perubahan kuota pemain import, beberapa perubahan lain yang akan dilakukan termasuk penukaran nama liga.

Liga 1 akan ditukar nama kepada Liga Indonesia, manakala Liga 2 pula akan dinamakan sebagai Liga Nusantara.

Jadual saingan liga juga akan dirombak yang mana untuk saingan 2023/24 saingan Liga 1 akan bermula pada Julai 2023 dan akan tamat pada April 2024.

Sementara itu, format kejohanan juga dijangka akan berubah yang mana mereka kini sedang mempertimbangkan dua jenis format.

Format pertama adalah bermain dalam format kumpulan dengan 18 pasukan dibahagi kepada tiga kumpulan, manakala format kedua  bermain secara liga dengan empat pasukan terbaik bermain di pusingan akhir.

Melihat kepada kedua-dua format ini, iannya tampak sedikit janggal kerana untuk saingan liga ia sepatutnya dijalan secara home dan away sahaja, kerana format kumpulan dan bermain di pusingan akhir hanya sesuai untuk kejohanan piala.

Apa pun kita tunggu perkembangan terbaru mengenai format yang akan digunakan untuk saingan Liga 1 (Liga Indonesia) untuk musim 2023/24.