Komen berbaur ugutan & lucah melampau perlu dikenakan tindakan tegas

1,582

Baru-baru ini arena bola sepak negara telah dicemari dengan beberapa insiden yang berlaku melibatkan pemain dan pengadil.

Insiden pertama membabitkan seorang peminat yang melontarkan komen berbaur ugutan di media sosial akibat tidak berpuas hati dengan prestasi pengadil perlawanan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan PDRM FC, Sabtu lalu.


Dalam komen yang dimuat naik oleh peminat tersebut, dia seolah-olah mengancam mahu berbuat ‘sesuatu’ kepada isteri pengadil yang terlibat dengan komen yang diberikan berunsur lucah yang melampau.

Perkara itu berlaku berikutan ketua pasukan KDA FC, Manuel Ott dan ketua jurulatih Nafuzi Zain dilayangkan kad merah sekaligus menyebabkan ketegangan berlaku ketika perlawanan dan juga selepas tamat perlawanan.

Akibatnya, hampir 1,000 penyokong KDA berhimpun di hadapan pintu utama Stadium Darul Aman dengan rasa tidak puas hati atas tindakan yang dibuat oleh pengadil yang dianggap lemah, tidak tepat dan tidak seimbang.

Insiden kedua membabitkan dengan pemain bola sepak wanita Kelana United FC, Intan Sarah Anisah yang turut menerima kecaman berunsur lucah atas satu kenyataannya di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Pemain berusia 24 tahun yang lebih dikenali sebagai Intan Serah itu berkata beliau hanya bergurau tentang perkara itu tetapi memaklumkan memang berniat untuk mencari jodoh tetapi tidak mahu ‘jodohnya’ itu peminat kelab Liverpool memandangkan beliau adalah peminat Manchester United.

Intan Serah berkata demikian selepas diminta untuk mengulas mengenai kenyataannya itu selepas tamat perlawanan suku akhir FAS Women Super League menentang FC Swat yang menyaksikan pasukannya menang 2-0.

Insiden ketiga pula berlaku melibatkan penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut yang dikutuk menggunakan loghat Terengganu ketika pemain itu sedang membeli-belah di sebuah pasar raya.

Difahamkan, kutukan tersebut disasarkan kepada Ivan ekoran prestasi hambarnya bersama skuad Sang Penyu selepas tiga perlawanan Liga Super yang menyaksikan pasukan itu belum peroleh kemenangan sebaliknya sudah tewas dua kali dan seri sekali.

Insiden-insiden yang berbaur ugutan, perkauman dan seksis bukanlah perkara baru dalam dunia bola sepak, namun akibat tiada tindakan tegas yang diambil untuk menangani isu ini ia telah menyebabkan perkara seperti ini sering berulang.

Walaupun ia sekadar komen di media sosial, namun jika ia tidak dibendung dengan segera ia mungkin akan berlanjutan di luar kelak dan ini pastinya akan mencemarkan bola sepak tanah air.

Diharap tindakan keras dapat diambil terhadap pelaku supaya dapat memberi pengajaran bagi mengelakkan perkara serupa berulang lagi pada masa hadapan.

Mungkin antara tindakan awal yang boleh diambil terhadap segelintir penyokong ini adalah mengharamkan mereka dari memasuki stadium dan membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil oleh pihak berkuasa.

Ini kerana jika tiada laporan polis yang dibuat, mereka tidak akan dapat membuat sebarang tindakan lanjut.

Bola sepak Malaysia kini sudah ke arah profesional, mentaliti penyokong bila lagi?