Johan Ghazali sanggup korbankan masa remaja demi karier Muay Thai
Baru-baru ini peninju Muay Thai dari Malaysia iaitu Muhammad Johan Ghazali Zulfikar telah menjadi perhatian peminat sukan Muay Thai di seluruh dunia apabila beliau berjaya membuat kejutan besar dalam kejohanan siri ONE Championship.
Johan atau lebih mesra dengan panggilan Jojo bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan dalam kejohanan ONE Championship pada usia muda iaitu 16 tahun, tetapi beliau juga berjaya menumbangkan peserta tuan rumah, Pedetsuk Fairtex dengan tumbukan ‘knockout’ (KO) dalam masa 16 saat sahaja.
Susulan debut yang cukup menakjubkan itu, beliau telah menerima bonus prestasi berjumlah 350,000 Bath (atau lebih RM45,000).
Kemenangan dengan tumbukan KO dalam masa 16 saat ini dikatakan KO terlaju di dunia.
Bagaimanapun, kejayaan yang diperoleh tidak datang bergolek sebaliknya banyak pergorbanan yang perlu dilakukan termasuk korbankan masa remajanya bagi memastikan karier Muay Thai berada di landasan tepat.
“Sekiranya waktu cuti, saya akan bangun pukul 6.00 pagi untuk mulakan latihan sehingga pukul 10.30 pagi dan pulang ke rumah untuk makan dan berehat sebelum kembali turun berlatih dari pukul 4.00 petang hingga ke pukul 8.00 malam.
Tapi jika waktu sekolah pula saya akan bangun lebih awal iaitu pukul 4.00 pagi untuk berlatih selama dua jam sebelum bersiap ke sekolah. Selepas tamat sesi persekolahan saya akan pulang makan dan berehat, sebelum mulakan latihan jam 4.00 petang. Itulah rutin harian saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Jojo, walaupun rejim latihannya agak ketat, namun beliau tidak pernah mengabaikan pelajarannya sebaliknya akan pastikan dapat mengimbangi antara pelajaran dan karier Muay Thai.
Beliau juga berkata apabila beliau ke sekolah, fokusnya 100% kepada pelajaran sama seperti ketika beliau berlatih Muay Thai.
Dalam pada itu, selain latihan yang padat, antara kunci kejayaan Jojo adalah beliau tidak mudah putus asa dan mengalah walaupun banyak kali mengalami kegagalan.
Ia dibuktikan apabila beliau berjaya menjadi Juara Dunia Remaja Muay Thai IFMA pada tahun lalu selepas gagal lima kali.
“Saya sertai kejohanan IFMA pada tahun 2017 tapi kalah pada peninju Australia di peringkat separuh akhir. Pada tahun 2018 saya sertai juga dan sekali lagi kalah di peringkat separuh akhir kepada peninju Rusia. 2019 pun saya sertai juga tapi kalah dengan peninju Rusia di perlawanan akhir, dan pada tahun 2021 pun saya kalah lagi di peringkat suku akhir dengan peninju Rusia.
Akhirnya pada tahun 2022 saya berjaya menjadi juara selepas lima kali mencuba.”
Untuk pengetahuan semua, Jojo juga merupakan pemenang pingat emas di SUKMA 2016.
Sementara itu, Jojo berkata beliau akan terus bekerja keras dan memberi fokus penuh kepada karier Muay Thai kerana beliau mahu terus mencipta nama di peringkat tertinggi.
Beliau juga meletakkan sasaran untuk merangkul tali pinggang kejuaraan ONE Championship satu hari nanti.