Isu padang ‘bendang’ undang risiko, MFL perlu lakukan sesuatu
Isu kualiti padang bola sepak sering menjadi ‘buah mulut’ peminat bola sepak tempatan dan kali ini padang di Stadium Negeri Sarawak pula menjadi tumpuan ketika perlawanan Liga Super antara Kuching City FC dan Sabah FC.
Pada aksi yang berpihak kepada Sabah dengan keputusan akhir 2-1 itu telah menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa bermain dengan berhati-hati kerana hujan lebat yang menyebabkan padang menjadi berlecak dan berlumpur.
Masalah padang ‘bendang’ bukanlah isu baharu dan penambahbaikan sewajarnya juga masih tidak dilakukan oleh pihak pengurusan untuk mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya untuk perlawanan penting seperti Liga Super.
Pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim juga baru-baru ini tampil mengkritik keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan yang didakwa tidak rata umpama ‘bola lompat-lompat macam katak’.
Terdahulu, insiden sama juga pernah berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E diantara Malaysia dan Bahrain yang memperlihatkan petugas stadium terpaksa mengeluarkan air bertakung menggunakan penyodok melalui satu video yang tular di media sosial.
Insiden tersebut turut mendapat liputan media antarabangsa sekaligus mencalarkan imej bola sepak negara.
Bagi seorang pemain bola sepak, kualiti padang amat penting buat mereka kerana keadaan padang yang teruk akan meningkatkan risiko untuk seseorang pemain itu mengalami kecederaan.
Sekiranya pemain mengalami kecederaan dek keadaan padang yang teruk, ia bukan sahaja menjejaskan karier pemain itu dan juga kelab, tetapi ia juga merugikan pasukan negara sendiri.
Dengan kualiti padang yang teruk juga akan menyebabkan seseorang pemain tidak dapat memperlihatkan kemampuan mereka.
Walaupun saban tahun insiden sama berlaku, namun sehingga kini masih tiada sebarang perubahan atau penambahbaikan dilakukan.
Adakah pihak pengurusan masih ‘buta dan tuli’ untuk melihat dan mendengar masalah yang berlaku di padang bola sepak negara ini sebagai sesuatu yang serius?
Alasan demi alasan diberi pihak pengurusan, namun masih tiada penyelesaian dan apa yang tinggal hanyalah masalah yang masih membelenggu pasukan tanah air untuk mempamerkan aksi terbaik.
Pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) perlu memandang perkara ini dengan serius dan perlu perketatkan kriteria padang bagi memastikan padang sentiasa berada dalam keadaan baik biarpun hujan lebat melanda.
Bagaimanapun jika ia masih tidak dapat diselesaikan, jalan terakhir yang boleh diambil oleh MFL adalah dengan menangguhkan perlawanan dan situasi itu pernah berlaku pada musim lalu apabila perlawanan di antara Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman FC terpaksa ditunda kepada keesokan harinya berikutan keadaan padang yang bertakung dengan air.
Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh sudah pun menawarkan geran bantuan untuk menukar rumput kepada jenis Zeon Zoysia di stadium-stadium milik kerajaan negeri.
Oleh itu, diharap pengurusan kelab dapat berbincang dengan kerajaan negeri untuk menerima tawaran tersebut supaya stadium di seluruh negara menggunakan rumput berkualiti.