Ketangkasan penjaga gol Negeri Sembilan FC wajar dipuji biarpun baru pulih dari kecederaan
Perlawanan Liga Super membabitkan Negeri Sembilan FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi telah menjadi mimpi ngeri buat pemain dan penyokong tuan rumah selepas mereka dibelasah 7-0.
Namun pemain yang paling kecewa di atas padang sudah semestinya penjaga gol Sikh Izhan Nazrel yang terpaksa menyaksikan gawangnya bocor sebanyak tujuh kali.
Disebalik dibolosi dengan jaringan yang besar, namun pujian harus diberikan kepada Sikh Izhan kerana beliau terpaksa bekerja keras untuk menafikan deretan percubaan daripada pemain lawan berikutan barisan pertahanannya ‘barai’ dan kucar-kacir.
Tular video yang memaparkan penjaga gol berusia 21 tahun itu terduduk bersandar di tiang gol selepas tamat perlawanan dengan ekspresi muka yang cukup kecewa.
Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan sekiranya tidak kerana ketangkasan Sikh Izhan, gawang Jang Hobin pastinya dibolosi lebih dari tujuh gol.
Apa yang menakjubkan mengenai prestasi Sikh Izhan adalah beliau baru sahaja pulih dari kecederaan di bahagian kepala selepas insiden pertembungan dengan pemain Penang FC sebelum itu.
Bagi seseorang pemain yang baru sahaja pulih dari kecederaan dan masih mampu memberikan aksi terbaik, ia seharusnya perlu diberi pujian walaupun tidak pulang dengan kejayaan.
Kalah dan menang itu adat dalam permainan, apa yang penting adalah pengalaman sudah tentu tidak dapat dilupakan oleh Sikh Izhan sekaligus menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus beri aksi terbaik pada perlawanan masa akan datang.
Sebelum ini, Sikh Izhan dipinjamkan oleh Selangor FC untuk skuad kendalian K. Devan sebagai pengganti penjaga gol utama selepas Syihan Hazmi berhijrah ke JDT.
Jika beliau terus pamer aksi konsisten, tidak mustahil beliau akan dapat panggilan untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan ia adalah satu petanda yang cukup positif kerana pasukan kebangsaan akan mempunyai beberapa penjaga gol muda termasuk Syihan dan Kalamullah Al-Hafiz.