Thivashini akui keserasian antara pemain cukup baik, Nurfarisya yakin Malayan Tigress mampu lepasi kelayakan Piala Asia Wanita B-20

303

Pemain pasukan kebangsaan wanita B-20, Thivashini Sivakumar memberitahu walaupun beliau dan rakan sepasukan hanya menjalani latihan bersama dalam tempoh yang singkat, namun mereka sudah pun mendapatkan keserasian yang baik.

“Pada mula agak sukar untuk saya sesuaikan diri kerana saya seorang yang agak pendiam, tetapi rakan sepasukan saya cukup baik dan kini keserasian antara saya dan rakan sepasukan menjadi lebih baik.

Ia dibuktikan apabila kami telah memberikan aksi yang baik ketika di atas padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, dalam tempoh dua minggu bersama skuad negara, beliau dan rakan sepasukan telah memberikan komitmen 100% sepanjang latihan.


Terdahulu, skuad kendalian Cameron Ng berjaya membenam cabaran Mongolia 3-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.

Malayan Tigress akan terbang ke Kemboja esok (8 Mac) bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain negara iaitu Nurfarisya Hanim Muhamad Zaki pula mengakui beliau dan rakan sepasukannya sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi pusingan kelayakan.

“Walaupun kami berlatih dalam tempoh dua minggu sahaja, tapi saya rasa pasukan sudah bersedia dan kami akan buktikan kepada semua yang kami akan menang di sana nanti.”

Nurfarisya berkata beliau adalah pemain di posisi tengah kanan tetapi menerusi percaturan ketua jurulatih, beliau kini diberi tanggungjawab untuk memperkuat bahagian pertahanan.

Walaupun terpaksa menukar posisi, namun beliau yakin dengan kemampuannya untuk mempertahan kubu pasukan dari dibolosi nanti.