Kita ke Kemboja memang nak menang, tapi kita perlu realistik – Cameron Ng

68

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita B-20, Cameron Ng memberitahu sasaran beliau untuk skuadnya adalah untuk menang dalam kesemua perlawanan kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang akan membuka tirainya pada hari ini (8 Mac).

Cameron bagaimanapun berkata beliau perlu realistik dengan sasaran tersebut kerana skuad yang dibawa ke Kemboja adalah skuad yang baru dibentuk.


“Sudah pasti setiap perlawanan saya mahu menang tapi kita kena realistik kerana ini adalah pasukan yang baru. Kita mempunyai beberapa pemain berusia 15 tahun dan purata umur pemain kita adalah 17 tahun.

Tapi kami ke Kemboja untuk menang pada masa sama saya mahu melihat prestasi yang bagus kerana pasukan ini mempunyai masa depan yang panjang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad Malayan Tigress akan membuka tirai kempen kelayakan dalam Kumpulan G pada 10 Mac ini menentang Kemboja sebelum menentang Myanmar pada 12 Mac.

Beliau berkata walaupun pasukannya mempunyai tempoh dua minggu untuk membuat persiapan, namun kesemua pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik.

Anak buahnya juga telah berjaya menewaskan Mongolia 3-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kekuatan pasukan lawan, beliau mengakui berdepan sedikit kesukaran untuk mengenal pasti kekuatan pasukan lawan dek tidak banyak liputan mengenai pasukan bawah umur.

“Masalah atau cabaran yang kita hadapi adalah pasukan bawah umur ini tidak ada banyak liputan jadi kita apa yang kita akan buat adalah dengan pergi ke perlawanan Kemboja menentang Myanmar malam ini untuk dapat gambaran lebih jelas.”

Untuk kelayakan pusingan pertama, sebanyak lapan juara kumpulan akan layak ke pusingan kedua kelayakan yang akan dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 11 Jun 2023 dengan empat daripada lapan pasukan terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 di Uzbekistan pada tahun hadapan.