Nilai pasaran hanya sekadar angka, PDRM FC bukti pasukan ‘murah’ mampu kejutkan kelab berbajet besar
Nilai pasaran sesebuah kelab bola sepak yang tinggi tidak menjamin persembahan yang membanggakan dapat dipamerkan oleh kelab terbabit. Hal ini kerana nilai pasaran itu dilihat hanya sekadar angka semata-mata.
PDRM FC yang merupakan kelab dengan nilai pasaran terendah dilihat tetap mampu mengalahkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 1-0 di Stadium Darul Aman pada aksi ketiga kejohanan itu.
KDA FC yang kini berada di tangga ketiga dalam carta nilai pasaran kelab bola sepak Malaysia tahun ini memiliki kadar sebanyak €4.88 juta bersamaan dengan RM23.2 juta, manakala PDRM memiliki nilai pasaran hanya €1.45 juta (RM6.9 juta) sahaja.
Walaubagaimanapun, angka itu tidak menjadi masalah buat skuad kendalian Azzmi Aziz apabila mereka masih dapat mempamerkan aksi terbaik dalam kempen Liga Super 2023 dengan berjaya menduduki tangga keenam selepas tiga perlawanan walaupun merupakan pasukan underdog.
PDRM hanya kalah dalam satu perlawanan Liga Super musim ini ketika menentang Sabah FC yang menang 4-0 di Stadium Likas.
Apa yang lebih penting adalah persembahan di atas padang. Nilai pasaran tinggi sahaja tidak berguna sekiranya pasukan itu tidak mampu membuktikan kelayakan mereka sebagai antara skuad termahal dalam liga.
Selain itu, kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) pula berada di kedudukan pertama dengan nilai pasaran €8.85 juta (RM42.1 juta) membuktikan pasukan itu sememangnya layak mendominasi kedudukan teratas.
JDT mempamerkan prestasi mengagumkan sepanjang kempen Liga Super 2023 dengan skuad Harimau Selatan itu masih belum bolos dalam tiga perlawanan yang sudah berlangsung menentang Terengganu FC, KL City FC, dan Negeri Sembilan FC dengan keputusan 2-0, 3-0, dan 7-0.
Diharap Kedah mampu mengikut jejak langkah JDT untuk membuktikan mereka layak menduduki carta tertinggi bukan sahaja melalui harga tetapi juga prestasi yang baik.