Golongan wanita pemangkin kemajuan sukan negara
Pada tarikh 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Sedunia disambut bagi meraikan pencapaian serta pengorbanan wanita di seluruh dunia termasuk Malaysia dalam segala bidang.
Di Malaysia sendiri, wanita telah menjadi perintis serta penggerak dalam pelbagai bidang termasuklah sukan dengan banyak pencapaian yang dizahirkan oleh atlet-atlet wanita.
Bukan sahaja atlet, golongan wanita yang menjadi tulang belakang seperti mereka yang berada di dalam kementerian, persatuan dan badan tertentu turut membantu dalam memperkasakan arena sukan negara.
Siapa yang tidak mengenali nama-nama seperti Datuk Nicol David, Datuk Pandelela Rinong, Datuk Shalin Zulkifli, Goh Liu Ying, Farah Ann, Siti Zalina Ahmad dan ramai lagi yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Kejayaan mereka membuktikan bahawa atlet-atlet wanita di negara ini amatlah penting dalam mengangkat martabat sukan di Malaysia.
Mereka juga menjadi role model buat ramai orang bukan sahaja dari golongan wanita, tetapi golongan lelaki juga boleh mencontohi apa yang mereka lakukan untuk negara.
Penghujung tahun lalu juga, seorang wanita telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan iaitu Hannah Yeoh, menjadikan beliau wanita kedua dilantik memegang portfolio itu sejak Datuk Seri Azalina Othman Said.
Walaupun pada mulanya ramai yang agak skeptikal dengan pelantikan itu, Hannah berjaya membuktikan bahawa beliau mampu menggalas tanggungjawab itu dengan cemerlang.
Antara inisiatif yang telah dilakukannya yang memberi impak besar kepada peminat sukan di negara ini adalah berbincang dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menurunkan harga tiket bagi kejohanan Piala AFF 2022 baru-baru ini dan memulakan inisiatif skrin besar di mana seluruh rakyat dapat menonton acara sukan beramai-ramai di pelbagai lokasi di seluruh negara, menawarkan geran untuk menukar rumput di padang seluruh negara kepada rumput jenis Zeon Zoysia dan banyak lagi.
Usaha dan pencapaian yang dilakukannya membuka mata dan menerima pujian daripada banyak pihak walaupun baru menjawat jawatan itu kira-kira tiga bulan.
Beliau membuktikan bahawa jantina tidak memainkan peranan langsung dalam menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan yang sudah sinonim dengan golongan lelaki.
Malah, beliau dikatakan melakukan tugas yang lebih baik berbanding Menteri-menteri terdahulu yang pernah menjawat jawatan itu dalam tempoh yang singkat ini.
Dengan contoh yang ditunjukkan oleh Hannah sendiri, atlet-atlet wanita juga harus menjadikan ia motivasi untuk memastikan prestasi mereka terus meningkat.
Negara kini mempunyai generasi baharu atlet-atlet wanita yang akan meneruskan perjuangan legenda terdahulu dan membawa harapan negara seperti Pearly Tan – Thinaah Muralitharan, Nur Dhabitah Sabri, Ng Joe Ee dan ramai lagi.
Selain itu, skuad bola sepak wanita negara juga nampaknya sedang melalui perubahan yang meyakinkan di bawah kendalian ketua jurulatih dari Jordan, Soleen Al-Zou’bi.
Diharapkan, atlet-atlet wanita terus menerima sokongan daripada semua pihak terutamanya kerajaan dan persatuan sukan, dan tiada isu dianaktirikan.
Mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan atlet lelaki dalam mengharumkan nama negara.
Selain daripada itu, isu keselamatan atlet wanita juga harus diberi perhatian oleh pihak berwajib supaya atlet-atlet wanita berasa selamat untuk terlibat dalam sukan.
Sudah beberapa kali isu mengenai gangguan seksual dan keganasan terhadap atlet wanita timbul, justeru kerajaan khususnya harus melakukan sesuatu dalam menghentikan perkara ini.
Akta Sukan Selamat (Safe Sports Act) haruslah dibentangkan segera supaya kebajikan atlet, bukan sahaja tertumpu kepada perempuan, dapat dilindungi dan dijaga.
Ia juga adalah penting bagi mewujudkan satu persekitaran atau ekosistem selamat buat atlet di negara ini.
Pujian harus diberikan buat Safe Sport Malaysia (SSM) yang sering memperjuangkan perkara ini dan diharapkan pihak KBS akan menyambut seruan ini.
Tidak dapat dinafikan lagi sumbangan atlet wanita dalam memartabatkan arena sukan negara adalah amat besar.
Selamat Hari Wanita Sedunia!