Tak patut ubah lokasi perlawanan kerana jadual liga telah keluar lebih awal, boleh ganggu persiapan pasukan dan penyokong

213

Perubahan jadual dan lokasi perlawanan Liga Super 2023 antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjelang aksi keempat pada Sabtu ini telah menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak.

Perkara itu disahkan oleh Malaysian Football League (MFL) dengan perlawanan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan telah ditukarkan ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.


Hal ini kerana pada hari yang sama turut berlangsung Majlis Selawat dan Munajat Perdana bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual akan bermula pada jam 7 petang hingga 11 malam.

Walaupun perubahan itu telah dimaklumkan tiga hari lebih awal, namun ia sudah semestinya akan menyusahkan segelintir pihak terutamanya para penyokong The City Boys apabila perlu merancang perjalanan ke negeri Darul Khusus itu bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Penyokong Negeri Sembilan yang telah merancang perjalanan dan jadual mereka untuk ke Kuala Lumpur juga pastinya agak kecewa dengan perkara ini.

Jadual Liga Super 2023 telah dikeluarkan awal tahun ini dan ia dibuat lebih awal bertujuan bagi memastikan semua perlawanan dapat dijalankan seperti yang dirancang serta untuk mengelakkan pertembungan tarikh dengan mana-mana kejohanan atau program lain.

Selain itu, turut terkesan dengan perubahan ini sudah semestinya para pemain itu sendiri apabila jadual latihan asal perlu diubah serta perlu merancang perjalanan ke kubu pelawat yang lebih jauh.

Kedua-dua pasukan sudah semestinya mahu menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan, namun dengan perubahan yang dibuat di saat-saat akhir boleh jadi ia akan mengganggu prestasi mereka.

Bukan itu sahaja, malah mereka juga perlu mengubah corak permainan yang telah diterapkan oleh jurulatih kerana keadaan padang serta stadium yang berbeza.

Tambahan pula, pihak pengurusan kelab juga akan ‘pening kepala’ apabila perlu menguruskan banyak perkara untuk para pemain termasuklah dari segi keselamatan dan kebajikan yang tidak boleh diambil endah.

Diharap pertindihan tarikh seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan terutamanya untuk kejohanan penting kerana ianya telah dijadualkan lebih awal bagi mengelakkan masalah sedemikian dari berlaku semasa hari perlawanan.

Takkanlah setiap kali berlakunya program sebegitu, perlawanan liga terpaksa diketepikan atau ditunda.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia boleh memberi kesan kepada jadual liga yang semakin sibuk pada musim ini.