Sarawak United FC diharap dapat selesaikan tunggakan gaji ketika bermain di Liga M3

263

Isu tunggakan gaji pemain Sarawak United FC (SUFC) masih hangat diperkatakan dengan pasukan itu kini bermain dalam kejohanan Liga M3 dengan pertembungan pertamanya bersama Harini FT yang menyaksikan mereka tewas 3-0.

Skuad Kenyalang Emas itu menghadapi masalah tunggakan gaji sejak September 2022 sebelum Presiden Sarawak United sebelum ini, Datuk Posa Majais memberi jaminan pembayaran tunggakan akan dibuat menjelang Mac.


Namun, hanya sekadar ‘omong kosong’ apabila tiada sebarang tindakan dibuat untuk melunaskan gaji para pemain meskipun kini skuad itu sudah bermain dalam Liga M3.

Sebelum ini, masalah tunggakan gaji itu juga telah mengakibatkan ramai pemain Sarawak United FC tidak menyambung kontrak bersama pasukan itu.

Bahang kekecewaan itu turut dikongsikan bekas pemain SUFC, Raja Imran Shah Raja Amin yang kini sedang berkhidmat dengan pasukan Perak FC dengan pemain itu telah memuat naik Instastory baru-baru ini berhubung masalah tunggakan gaji yang dihadapi.

Selain itu, masalah ini juga boleh memberi impak negatif kepada pemain untuk meneruskan komitmen bulanan kerana mereka tidak menerima pendapatan yang sepatutnya oleh kelab itu.

Melalui satu hantaran di Facebook oleh kelab penyokong SUFC, mereka mendakwa tunggakan gaji itu telah mengakibatkan pemain berada dalam kesusahan sehingga ada yang perlu menjual rumah, kereta ditarik pihak bank, disenarai hitam kerana gagal membayar ansuran rumah dan kereta, dan banyak lagi.

Kelab itu sebelum ini berhadapan dengan masalah gagal mendapatkan lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Antara kriteria yang gagal dipenuhi SUFC adalah gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain serta gagal memenuhi kriteria kewangan.

Akibatnya, skuad kendalian S. Balachandran itu tidak dapat beraksi dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL) seperti Liga Super kerana kegagalan mematuhi kriteria yang telah ditetapkan.

Perkara ini bukan sahaja boleh mencalarkan imej pasukan tersebut, malah juga boleh menyekat pasukan itu untuk melebarkan sayap dalam kejohanan besar negara.

Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menghantar notis kepada SUFC pada 17 Januari lalu supaya tunggakan gaji yang membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM1 juta itu segera dilunaskan.

Justeru, kelab itu harus segera menyelesaikan tunggakan tersebut kerana ramai daripada pemain yang sudah ‘terseksa’ untuk menyelesaikan komitmen mereka gara-gara tidak mendapat gaji.