Admin media sosial PDRM FC lucu, hiburkan peminat bola sepak tempatan dan buat penyokong lawan ‘koyak’

Akaun media sosial kelab bola sepak memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat terkini, tetapi juga untuk berkongsi reaksi atau apa-apa saja berkaitan dengan kelab mereka.
Ini apa yang dilakukan oleh admin akaun media sosial PDRM FC yang sering kali dilihat berkongsi video dan gambar yang lucu serta menggunakan ayat-ayat yang mengundang gelak tawa sesiapa sahaja yang melihatnya.
Antara hantaran ‘meme’ yang menggelikan hati telah dimuatnaik admin PDRM yang memaparkan salah satu karakter dalam animasi popular Jepun iaitu Naruto.
Watch on TikTok
Ia seolah-olah mahu menyindir reaksi dari penyokong Kedah Darul Aman FC yang tewas 1-0 di Stadium Darul Aman.
Dalam video berdurasi 29 saat itu menunjukkan karakter animasi itu yang telah mengeluarkan salah satu kuasa terkuatnya iaitu Susanoo yang dilabelkan sebagai ‘Bruno Suzuki’ yang berjaya menjaringkan gol tunggal buat The Cops pada aksi ketiga Liga Super 2023 menentang Kedah, Sabtu lalu.
Ia ditujukan kepada penyokong yang tidak berpuas hati dengan taktikal ‘parking bas’ oleh kelab itu dalam mencatatkan kemenangan mengejut itu.
Video itu bagaimanapun menerima lebih 25 ribu tanda suka di Tiktok dan lebih 80 ribu reaksi di Twitter.
Selain itu, sebuah video berdurasi 11 saat juga turut dimuatnaik dengan memaparkan bas dua tingkat berwarna biru yang merupakan bas milik skuad Sang Saka Biru yang baru sahaja tiba di Stadium Darul Aman.
Bas paling ditakuti dalam Liga Super 💀 pic.twitter.com/hL7dOspZdO
— PDRM Football Club (@officialpdrmfc) March 5, 2023
Bas itu dilabel sebagai ‘bas paling ditakuti dalam Liga Super’ disebabkan sebahagian pemain The Cops merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hantaran itu bagaimanapun menerima lebih 300 ribu reaksi dari pengguna Twitter dan lebih enam ribu tanda suka di Tiktok setakat hari ini serta turut dikomen oleh pengguna media sosial yang rata-ratanya tertarik dengan cara suntingan video itu yang disamakan seperti ‘pengarah sinetron Indonesia’.
Tindakan admin PDRM itu wajar menerima pujian kerana ia bukan sahaja mampu menghiburkan peminat bola sepak tanah air tetapi juga mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.
Bukan itu saja, ia juga mampu membuatkan penyokong lawan ‘koyak’ dengan gaya admin tersebut memerli menggunakan ‘meme’.
Namun, bagi rata-rata peminat bola sepak tempatan terhibur dengan gelagat admin tersebut membuat hantaran dan membalas segala komen oleh netizen.
Dalam padang sudah cukup serius, di luar padang tak usah lah serius juga. Tenang-tenang saja.