VIDEO: Kenapa insiden kontroversi ‘disembunyikan’?
Semalam telah berlangsungnya dua perlawanan pusingan pertama Piala FA yang menyaksikan kedua-dua perlawanan tersebut berakhir dengan cukup dramatik.
Perlawanan pertama membabitkan pasukan Perak FC menentang Sri Pahang FC yang menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya menang selepas melakukan kebangkitan termasuk gol dramatik di saat-saat akhir apabila mendapat sepakan penalty sekaligus menang 2-1.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman juga menyaksikan pertembungan derby utara di antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga tamat masa tambahan.
Penjaga gol Penang iaitu Shafiq Afifi menjadi wira skuad Harimau Kumbang apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dari pemain Sang Kenari sekaligus mereka menang 4-3.
Di sebalik kehangatan kedua-dua perlawanan ini, timbul beberapa insiden kontroversi membabitkan keputusan pengadil yang menimbulkan ketidak puasan hati bukan sahaja pasukan tetapi juga peminat.
Walaupun liga semakin maju, namun mutu pengadilan pengadil tempatan nampaknya masih berada di takuk lama dan tampak seperti tiada peningkatan dari musim ke musim.
Mungkin pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) boleh mempercepatkan penggunaan VAR (video assistant referee) dalam saingan liga supaya kontroversi keputusan pengadil dapat dikurangkan dengan drastik.
Apa pun perlawanan sudah pun tamat dan keputusan adalah muktamat dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengubah keputusan perlawanan.
Bagi yang menonton kedua-dua perlawanan secara langsung atau berada di stadium pastinya tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh perlawanan, tetapi bagi mereka yang tidak berkesempatan pastinya akan menonton video highlight perlawanan.
Malangnya, mereka yang menonton video highlight perlawanan tidak akan dapat melihat beberapa insiden kontroversi yang berlaku sekaligus memberi persepsi seolah-olah cuba untuk ‘menyembunyikan’ insiden itu dari dilihat semula.
Insiden pertama adalah membabitkan keputusan kontroversi pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada Sri Pahang walaupun ramai yang mendakwa ianya satu keputusan yang salah kerana tiada kekasaran yang dilakukan oleh pemain Perak terhadap pemain lawan.
Jika anda menonton video highlight, tiada video yang memaparkan bagaimana insiden itu berlaku, sebaliknya ia dipotong terus dan hanya menunjukkan ketika Stefano Brundo menyempurnakan sepakan penalti sahaja.
Kenapa tidak tayangkan juga bagaimana insiden itu berlaku yang membuatkan pengadil memberi sepakan penalti itu?
Satu lagi insiden yang menjadi persoalan adalah pada minit ke-86′ yang menyaksikan pemain Sri Pahang melakukan terjahan keras dari belakang terhadap pemain Perak tetapi tiada layangan kad kuning diberikan.
Satu lagi insiden pula membabitkan perlawanan di antara KDA dan Penang yang mana gol yang dijaringkan oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-82′ dibatalkan kerana penjaga garisan mendakwa pemain itu berada di kedudukan ofsaid sedangkan tidak.
Gol yang dibatalkan itu tidak ditunjukkan dalam video highlight sekaligus membuatkan ramai yang mahu ingin lihat semula situasi tersebut tidak dapat berbuat demikian.
Tindakan ini nyata mengundang persoalan dan persepsi ramai peminat. Mungkin akan ada penjelasan mengenai perkara ini nanti? Sama-sama kita tunggu.