Tomislav Steinbruckner perlu diberi masa, tak adil bandingkan dengan skuad TFC di bawah Nafuzi Zain musim lalu

380

Selepas melalui musim yang cemerlang tahun lalu, semuanya serba tak kena buat pasukan Terengganu FC pada musim baharu ini apabila melalui permulaan yang agak mengecewakan dalam saingan Liga Super.

Daripada tiga perlawanan pertama, Terengganu hanya mampu meraih satu mata sahaja dan masih lagi gagal menjaringkan sebarang gol.


Ketua Pegawai Eksekutif pasukan, Ab Rasid Jusoh bimbang dan sedar akan perkara itu tetapi tetap optimis pasukan kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner akan menunjukkan peningkatan pada perlawanan selepas ini.

Dengan barisan pemain yang baharu terutama pemain-pemain import, sudah tentu jurulatih dari Croatia itu memerlukan masa untuk kembali membina pasukan dan tidak adil sekiranya beliau diadili berdasarkan tiga perlawanan pertama.

Selain itu, tidak adil juga untuk membandingkan prestasinya dengan bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain musim lalu, kerana jurulatih dari Kelantan itu juga mengambil masa untuk membentuk pasukan menjadi sebaik musim lalu.

Memang diakui berbanding musim lalu, Terengganu menunjukkan penurunan prestasi pada permulaan musim ini, tetapi untuk Steinbruckner, ini barulah permulaan buat dirinya.

Lagipun, ini adalah keputusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan Terengganu untuk ‘beralih’ kepada Steinbruckner, justeru mereka perlu memberi kepercayaan kepadanya dan sabar untuk melihat hasil.

Selain itu, pengendali berusia 57 tahun itu merupakan bekas pengarah teknikal kelab pada musim lalu serta pernah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan T-team pada 2015, jadi beliau mungkin individu yang tepat untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih, cuma masa haruslah diberi.

Terengganu juga sebelum ini sudah hampir empat tahun di bawah kendalian Nafuzi, jadi untuk mengadaptasi dengan gaya permainan lain sudah pasti memerlukan masa.

Steinbruckner perlu diberi ruang sekurang-kurangnya satu musim untuk membuktikan kemampuannya membawa Terengganu.

Adalah mustahil buatnya untuk melakukan apa yang dirancang dalam tempoh yang singkat, dan ia memerlukan kesabaran daripada penyokong dan pihak pengurusan.