Perak FC mungkin perlu bantuan pakar perunding psikologi untuk kawal emosi pemain
Setelah beraksi sebanyak empat perlawanan yang dilalui oleh pasukan Perak FC, mereka telah mempamerkan corak permainan yang cukup positif walaupun dibarisi oleh majoriti pemain muda.
Namun disebalik corak permainan yang baik dan berintensiti tinggi, tetapi skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim gagal untuk mendapatkan keputusan positif sebaliknya mereka hanya berjaya seri dua kali dan kalah sekali dalam saingan Liga Super serta kalah dalam pusingan pertama Piala FA.
Apa yang membuatkan pasukan The Bos Gaurus sukar untuk memperolehi kemenangan bukan sahaja kerana ketumpulan di bahagian serangan, tetapi ia berpunca daripada pasukan tidak dapat beraksi dengan 11 pemain akibat layangan kad merah.
Pada perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA), mereka telah mempamerkan aksi yang cukup baik sehingga berjaya mendahului pasukan lawan seawal minit ke-3′, tetapi selepas pihak lawan berjaya menyamakan kedudukan perlawanan mula bertukar menjadi fizikal.
Kegagalan anak buah Teong Kim mengawal emosi telah menyaksikan dua pemain telah dilayangkan kad merah sekaligus membuatkan pasukan tempang apabila terpaksa bermain dengan sembilan pemain sahaja dan KDA mengambil kesempatan untuk mendominasi perlawanan dan berjaya menang 4-1.
Pada perlawanan Piala FA menentang Sri Pahang FC semalam, mereka hampir membuat kejutan terhadap pasukan gergasi Pantai Timur itu, namun mereka tindakan pemain yang gagal mengawal emosi menyebabkan seorang pemain mereka dilayangkan kad merah dan akhirnya mereka tumpas 2-1.
Kekalahan tersebut nyata membuatkan Teong Kim kecewa kerana pemain tidak dapat menerapkan taktikal ampuh yang sudah dirancang dek kehilangan pemain di atas padang.
Teong Kim dan pihak pengurusan kelab perlu melakukan sesuatu dengan cepat supaya perkara seperti ini dapat dielak dan dikurangkan supaya mereka dapat mempamerkan aksi terbaik mereka sekaligus mencari kemenangan sulung.
Mungkin sudah tiba masanya mereka mendapatkan bantuan daripada pakar perunding psikologi bagi membantu pemain-pemain supaya lebih bijak mengawal emosi apabila berada di atas padang.
Pemain tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana ramai yang memahami pemain-pemain muda sememangnya masih belum dapat mengawal emosi mereka dengan baik dan akan cepat memberi reaksi apabila keputusan tidak menyebelahi mereka atau diprovok.
Itulah risiko yang perlu ditanggung oleh pengendali berusia 60 tahun itu apabila mengambil keputusan untuk membina semula pasukan Perak dari bawah dengan menggunakan ramai pemain muda.
Tidak ramai jurulatih di Liga Malaysia yang mempunyai keberanian seperti Teong Kim kerana perancangan seperti itu memerlukan masa untuk berjaya.
Penyokong juga perlu bersikap terbuka dan realistik supaya tidak hanya mahu fokus pada keputusan sahaja, sebaliknya melihat usaha yang sedang dilakukan pasukan Perak adalah untuk jangka masa panjang.
Untuk pemain-pemain muda pula, mereka juga perlu mengawal darah muda dan emosi mereka supaya tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya kerana pasukan yang akan menerima tempias dari tindakan melulu seseorang pemain itu.
Pujian juga harus diberikan kepada kesemua pemain yang berjaya menerapkan taktikal yang diterapkan oleh Teong Kim walaupun mereka kurang pengalaman.
Situasi mungkin tidak sama buat Teong Kim sekiranya perlu mengendalikan pasukan-pasukan besar yang mempunyai pemain berkualiti dan berpengalaman seperti Terengganu FC atau KDA.
Apa pun Teong Kim tahu apa yang mahu dilakukan dengan pemain-pemain muda ini dan penyokong perlu berdiri teguh dibelakang beliau walau apa pun terjadi.
Sekiranya penyokong trust the process, percayalah pasukan Perak akan kembali menjadi salah sebuah pasukan gergasi dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.