Barisan kejurulatihan perlu desak pihak pengurusan terima cadangan KBS untuk naik taraf padang

378

Masalah kualiti padang masih hangat dibicarakan dengan baru-baru ini pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim tampil mendedahkan keengganan beberapa pemilik kelab bola sepak negara untuk menerima cadangannya.

Cadangan geran itu adalah untuk menukar padang bola sepak di seluruh negara kepada rumput jenis Zeon Zoysia dan ia juga telah dipersetujui YB Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.


Namun, ada segelintitr pihak yang didakwa tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan duit untuk kos penyelenggaraan tahunan padang yang bernilai sekitar RM240,000 sedangkan menerima bajet tahunan bernilai jutaan ringgit.

Kerteh FC dalam satu hantaran di Twitter memaklumkan yang mereka mahukan geran padang yang dicadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menambahbaik tiga padang mereka yang berpangkalan di Terengganu sekiranya pemilik kelab bola sepak enggan menerima geran yang diberikan KBS.

Kesungguhan Kerteh wajar mendapat pujian biarpun kelab itu belum lagi bersaing dalam Liga Malaysia, namun mereka mempunyai visi dan misi untuk mempunyai fasiliti bola sepak terbaik.

Baru-baru ini, jurulatih KL City FC, Bojan Hodak turut menyatakan rasa kecewa apabila pasukannya tiada padang latihan yang sesuai untuk menjalani latihan dengan padang latihan mereka di Pudu Ulu dan di Stadium KLFA, Cheras berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Selain itu, jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim juga tampil mengkritik keadaan padang di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan yang didakwa tidak rata dengan berkata ia umpama ‘bola lompat-lompat macam katak’.

Pihak pengurusan stadium mungkin melihat ia bukan masalah yang besar buat mereka, namun bagi jurulatih kelab bola sepak negara ia amat penting untuk anak buah mereka mempamerkan aksi terbaik.

Malah, jika masalah padang ini berterusan ia juga akan meningkatkan risiko untuk seseorang pemain itu mengalami risiko kecederaan.

Oleh itu, barisan jurulatihan mungkin boleh menggunakan kuasa ‘veto’ mereka untuk mendesak pihak pengurusan kelab bagi menerima cadangan geran KBS untuk memperolehi mutu padang yang berkualiti.

Jika kelab bawahan pun boleh berfikiran profesional, kenapa kelab profesional di Liga Super tidak boleh berfikiran sama?

Ini bukan untuk kebaikan kelab bola sepak itu semata-mata, tetapi juga untuk kebaikan negeri mereka dengan hasil yang bakal mereka terima akan lebih lumayan dan memuaskan.