Ramai OKU tiada keyakinan diri untuk terlibat dalam aktiviti sukan – Muhd Fahmi
Peserta Muay Thai OKU, Muhd Fahmi mengakui bahawa ramai golongan OKU yang malu untuk terlibat dalam aktiviti sukan kerana tidak yakin dengan diri mereka.
Katanya, kebanyakannya akan membandingkan diri mereka dengan orang yang bukan OKU menyebabkan mereka enggan bergiat aktif dalam aktiviti sukan.
“Kadang-kadang golongan OKU merasa rendah diri dan tidak yakin untuk terlibat dalam aktiviti sukan.
Mereka akan berasa segan apabila berdepan dengan orang bukan OKU, jadi apabila ada program yang dikhususkan kepada OKU, ia akan memperbanyakkan lagi penglibatan golongan ini dalam sukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pengenalan Muay thai Kepada OKU yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, program seperti itu juga dapat memperkenalkan golongan OKU kepada lebih banyak jenis sukan yang ada untuk golongan tersebut.
“Untuk OKU selalunya peraturan adalah berbeza jadi kita dapat belajar daripada program-program sebegini.
Selain itu, akan lebih ramai yang berminat untuk sertai kerana boleh jumpa ramai kawan yang sama-sama OKU.”
Katanya, program tersebut merupakan satu inisiatif yang baik untuk menggalakkan golongan OKU bersenam.
Beliau berharap program seperti itu dapat diperbanyakkan lagi oleh pihak kerajaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, jurulatih bagi program tersebut, Mohd Ali Ismail berkata Muay Thai adalah satu bentuk senaman yang baik untuk golongan itu.
Katanya, Muay Thai tidak semestinya melibatkan pertarungan fizikal tetapi juga melalui persembahan.
“Muay Thai ini baik untuk golongan OKU kerana ia boleh membuatkan mereka berpeluh dan menyihatkan tubuh mereka.
Mereka juga senang untuk menerima apa yang diajar oleh kami dan menunjukkan minat yang tinggi.”
Katanya program ini amat baik memandangkan sebilangan golongan OKU memerlukan sokongan untuk menceburkan diri dalam bidang sukan.