Warga Malaysia miliki koleksi bola sepak bernilai jutaan ringgit, termasuk replika trofi Jules Rimet

490

Dalam berjuta-juta peminat bola sepak di seluruh dunia, terdapat sebilangan peminat yang begitu ‘gila’ yang sanggup membelanjakan sejumlah besar wang serta melakukan apa saja untuk mengumpul koleksi barangan berharga berkaitan sukan itu.

Itulah yang dilakukan oleh Wong Jin Zhen, 32, yang mengumpul pelbagai koleksi berkaitan bola sepak yang bernilai jutaan ringgit.


Antara barangan yang ada dalam koleksinya termasuklah jersi kelab dan pasukan kebangsaan antarabangsa, medal, trofi serta kasut bola yang ekslusif.

Beliau menyimpan kesemua barangan tersebut di studio peribadi miliknya di Hollywood Treasure, Seremban.

Antara barangan yang paling berharga dalam koleksinya merupakan replika trofi Piala Dunia Jules Rimet yang dihasilkan oleh FIFA yang dikatakan hanya ada tiga sahaja dalam dunia ini.

“Rakan kongsi saya beli trofi tersebut daripada seorang pengumpul barangan yang mempunyai ‘kabel’ dengan pihak FIFA.

Difahamkan hanya ada tiga sahaja replika ini di dunia dan satu daripadanya berada di sini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jin Zhen berkata, beliau pernah menolak tawaran daripada seorang individu yang mahu membeli replika trofi tersebut dengan tiga kali ganda daripada harga asal.

Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai sehelai jersi Ballon d’Or yang ditandatangani oleh tiga finalis anugerah itu pada edisi 2014 iaitu Cristiano Ronaldo, Manuel Neuer dan Lionel Messi.

Beliau juga turut mempunyai barangan yang didapatkan daripada pemain sendiri seperti jersi pasukan Argentina yang ditandatangani oleh Messi dan Diego Maradona, kasut bola milik pemain Brazil, Kaka dan banyak lagi.

Menurutnya, beliau pernah dijemput untuk mengadakan pameran di Phuket Thailand pada Ogos tahun lalu.

Beliau berharap satu hari nanti ada pihak yang berminat untuk bekerjasama dengannya untuk mengadakan pameran di negara ini.