Bekas pemain Liga Malaysia ada peluang ‘cuba nasib’ di Liga Super Brunei

1,730

Tular di media sosial mengenai tiga pemain bola sepak Malaysia yang mengembangkan karier bola sepak di negara jiran di Liga Super Brunei.

Ia sesuatu yang agak ‘ganjil’ kerana umum mengetahui majoriti pemain bola sepak di Malaysia tidak pernah membayangkan untuk bermain di Brunei kerana kualiti bola sepak di sana lebih rendah berbanding di Liga Malaysia.


Bagaimanapun mungkin saingan terlalu banyak membuatkan Malone Bian Andrew, Azri Asri dan Rimilly Hamran memilih Liga Super Brunei, tambahan pula ia lebih dekat dengan kampung halaman mereka.

Malone Bian beraksi untuk kelab AKSE Bersatu telah membuat debutnya dengan cemerlang apabila berjaya membantu pasukannya menang 2-1 ketika menentang Bakes FC yang berlangsung di Stadium Padang dan Balapan, Bandar Seri Begawan baru-baru ini.

Manakala Azri dan Rimilly yang menyarung jersi pasukan Rimba Star FC pula terpaksa akur apabila tumpas 1-0 di tangan Panchor Murai FC.

Berita mengenai pemain negera bermain di Brunei mungkin akan membuka mata pemain-pemain yang tidak mendapat tempat dalam pasukan Liga Perdana (dek dimansuhkan), Liga Super atau pun Liga M3 musim lalu untuk cuba berhijrah ke sana untuk meneruskan kerjaya bola sepak mereka.

Mungkin kualiti liga di sana tidak begitu kompetitif berbanding di Liga Malaysia, namun dengan pengalaman mereka beraksi dalam saingan liga kompetitif mungkin akan membantu mereka mencipta nama dengan cepat.

Antara faktor yang mungkin akan menjadi daya penarik adalah gaji yang ditawarkan. Ini kerana nilai mata wang Brunei dollar lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia iaitu $1 bersamaan dengan RM3.4.

Siapa tahu bagi pemain kategori yang mendapat gaji ‘biasa-biasa’ sebelum ini di Liga Malaysia akan mendapat gaji lebih tinggi sekiranya bermain di sana.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa musim ini ramai pemain-pemain dari musim lalu yang tidak mempunyai kelab pada musim ini berikutan penstrukturan liga yang menyaksikan Liga Perdana ditunda.

Kebanyakan bekas pemain dari Liga Perdana dan Liga Super yang tidak disambung kontrak memilih untuk berhijrah ke liga semi-profesional iaitu Liga M3.

Jadi ada diantara mereka tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai seorang pemain bola sepak kerana ketiadaan kelab untuk bermain.

Namun, rezeki itu ada di mana-mana sahaja, oleh itu mungkin pemain-pemain yang masih tidak mempunyai kelab sehingga kini boleh mencuba nasib beraksi di Liga Super Brunei pula selepas ini.

Tidak mustahil mereka mampu menjadi bintang di liga sana nanti berikutan mempunyai pengalaman beraksi di tahap tertinggi.

‘Pantang berundur sebelum berjuang’. Semoga berjaya buat ketiga-tiga pemain Malaysia yang sedang beraksi di Liga Super Brunei.