Nak bantu pemain ping pong sampai ke Olimpik – H’ng Kim Shan

318

Mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia sukan ping pong, bekas pemain ping pong negara iaitu Jong Min Shing dan H’ng Ki Shan terus kekal dalam dalam sukan tersebut apabila kini menjadi jurulatih di akademi A Power Team di Kepong, Selangor.

Kedua-dua jurulatih ini merupakan bekas pemain kebangsaan dan pemenang pingat gangsa di Sukan SEA pada tahun 1995 dan 2001 itu turut berkongsi akademi yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu adalah bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat sukan ping pong di negara ini.


Pada masa sama, mereka turut memasang misi untuk membantu anak-anak didik mereka untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Saya tak dapat pergi ke Olimpik jadi saya harap saya dapat bantu pemain-pemain saya untuk mencapai sasaran itu,”

kata Kim Shan kepada Harimau Malaya.

Kini, A Power Team di Kepong sudah mempunyai hampir 50 orang pemain dengan pemain paling muda berusia lima tahun, manakala pemain paling tua pula berumur 70 tahun.

Tidak dinafikan, mutu sukan ping pong di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding dahulu, namun negara masih belum mampu beri saingan sengit kepada pasukan dari luar negara.

Namun, apa yang menjadi masalah adalah dari segi penajaan yang sukar untuk diperolehi dek sukan ping pong di Malaysia yang kurang popular.

“Yang penting adalah penajaan kerana segala peralatan yang digunakan memerlukan duit dan pihak kerajaan pun tiada beri bajet kepada sukan ini.”

Baginya, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan memberi perhatian kepada sukan ping pong dengan sukan ini sudah mula mendapat penglibatan daripada bangsa lain seperti Melayu dan India berbanding dahulu yang hanya didominasi oleh masyarakat berbangsa Cina.

Selain itu, penglibatan media juga memainkan peranan yang penting untuk membuat liputan agar sukan ini dikenali dengan lebih meluas.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan kelab-kelab di semua sekolah di negara ini juga perlu mewujudkan kelab ping pong agar lebih banyak penglibatan dalam sukan ini pada masa hadapan.

“Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), kelab-kelab ping pong memang sudah ada. Tetapi di Sekolah Kebangsaan (SK) masih belum ada. Ianya perlu ditubuhkan supaya akan ada lebih ramai penglibatan dalam sukan ping pong.”

Tambahnya, sukan ping pong di luar negara sudah berkembang luas dengan penglibatan paling muda adalah pada umur tiga tahun diantaranya di negara China, Hong Kong dan Jepun dengan mereka mempunyai kemudahan khas untuk pemain-pemain cilik itu.

“Sebagai pemain, saya harap sukan ping pong di Malaysia boleh memperolehi pingat di peringkat antarabangsa dan tidak kiralah apa warna pun. Jika dapat pingat, mereka juga dapat membantu sukan ping pong di Malaysia untuk lebih berkembang,”

kata Kim Shan.

“Jika kita lihat di luar negara, penyertaan paling ramai adalah dalam persatuan ping pong. Saya harap suatu hari nanti Malaysia juga boleh melahirkan pemain-pemain Olimpik,”

ujar Min Shing.