Kita tak akan bermain secara tergesa-gesa menentang Myanmar esok walaupun kita wajib menang – Cameron Ng
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita B-20, Cameron Ng menegaskan bahawa beliau akan mengarahkan pemain-pemainnya untuk bermain dengan taktikal yang diterapkan dan tidak terburu-buru mencari gol.
Menurut Cameron, beliau menyedari skuad Malayan Tigress bukan sahaja perlukan kemenangan tetapi juga perlu menang dengan jumlah jaringan 2-0 sekiranya mahu layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
“Kami tahu pasukan perlukan kemenangan tetapi kami tidak akan bermain secara terburu-buru untuk mendapatkan gol, sebaliknya gol akan menjelma sekiranya kesemua pemain bermain mengikut cara permainan kita sendiri.
Kita tak mahu main terburu-buru lepas tu kita bolos,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Skuad Malayan Tigress terpaksa berdepan laluan sukar apabila mereka tewas 1-0 kepada Kemboja semalam dalam perlawanan pertama.
Dalam pada itu, Cameron mengakui kekalahan pasukannya pada perlawanan semalam disebabkan oleh keletihan dek pemain-pemainnya kurang pengalaman bermain dalam tempoh 90 minit.
“Skaud ini adalah skuad yang baru dengan dibarisi oleh ramai pemain-pemain muda. Kesemua mereka ini boleh dikatakan tidak pernah bermain dalam tempoh perlawanan sebenar kerana dalam saingan liga tempatan juga mereka bermain dalam tempoh 70 minit sahaja.
Oleh sebab itu, kita dapat lihat kita bolos di saat-saat akhir akibat keletihan. Ini bukan alasan, tapi tempoh dua minggu latihan belum cukup untuk saya tingkatkan stamina pemain.”
Sementara itu, ketua pasukan Amirah Rahman pula berkata faktor cuaca panas terik menjadi antara punca kekalahan mereka.
Menurut Amirah, sepanjang tempoh dua minggu latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan, mereka sentiasa beraksi dalam keadaan cuaca sejuk.
“Bukan nak bagi alasan tapi cuaca panas terik jadi punca kami kalah sebab sebelum ini perlawanan persahabatan yang kami hadapi kami selalu bermain ketika cuaca hujan.
Bagaimanapun itu bukan alasan. Kami sudah bangkit dari kekecewaan pada perlawanan semalam dan kini akan fokus dan beri 100% pada perlawanan menentang Myanmar esok.”