Gagal jaringkan gol walaupun mempunyai deretan peluang! Inilah bola sepak – Hanis Azizan

198

Pemain Kelana United FC, Hanis Azizan mengakui berasa kecewa selepas pasukannya tewas kepada MBSJ FC dalam perlawanan separuh akhir FAS Womens Super League malam tadi.

Perlawanan berlangsung dengan begitu sengit sekali apabila kedua-dua pasukan saling bertukar serangan tapi gagal menjaringkan gol sepanjang 70 minit tempoh perlawanan dan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.


“Sudah pasti memang kecewa kerana secara keseluruhan corak permainan kami semuanya bagus cuma kita tak dapat sempurnakan peluang yang kita dapat. Jadi benda-benda macam ini perkara biasa dalam bola sepak.

Bila dah masuk sepakan penalti peluang 50/50. Kami tidak bernasib baik dan tiada rezeki malam ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, mereka sememangnya sudah membuat persiapan untuk penentuan sepakan penalti tetapi tidak menjangka ia akan berlanjutan sehingga ke sudden death.

Dalam pada itu, bagi ketua jurulatih Kelana United iaitu Syahidah Shamsool pula, walaupun pasukannya gagal mara ke perlawanan akhir tapi beliau tetap berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan oleh pemainnya.

“Walaupun kita tak berjaya pergi final, tapi saya berpuas hati dengan corak permainan pemain saya. Kita punya banyak peluang dan mendominasi perlawanan dan apa yang saya nak pemain berjaya lakukan.

Kita nak menang dalam 70 minit tapi saya boleh katakan mutu pengadilan agak kurang memuaskan tapi itu bukan alasan.”

Beliau berkata walaupun pasukannya tidak berjaya mara ke perlawanan akhir, namun ia bukan bermakna mereka akan berehat sebaliknya mereka akan teruskan latihan seperti biasa.

Ini kerana menurut Syahidah, pasukannya dibentuk bukan untuk sesuatu kejohanan sahaja tetapi ia sebuah pasukan pembangunan untuk jangka masa panjang.

“Walaupun kita tak berjaya mara ke final, kita akan teruskan latihan kerana sasaran jangka panjang kita adalah pembangunan pemain. Siapa tahu selepas FAS Womens Super League kita ada rezeki main di Liga Wanita Nasional (LWN) pula selepas ini. Kalau tak ada kita akan teruskan persiapan untuk tahun hadapan.”