Azurin Mazlan akui pengalaman beraksi di luar negara bantunya untuk bawa UPNM ke perlawanan akhir FAS WSL

258

Penjaga gol utama UPNM, Nurul Azurin Mazlan menjadi wira buat pasukannya apabila berjaya membantu pasukannya untuk membenam FC Spicegals dalam penentuan sepakan penalti untuk mara ke perlawanan akhir FAS Womens Super League.

Perlawanan yang terikat tanpa jaringan sehingga tamat waktu sebenar telah diheret ke penentuan penalti yang menyaksikan beliau bukan sahaja berjaya menyelamatkan sepakan penalti tetapi juga menyempurnakan sepakan penalti terakhir pasukan.


“Sebagai seorang penjaga gol, saya sememangnya sudah membuat persediaan untuk menghadapi sepakan penalti kerana kita perlu bersedia untuk berdepan dengan sebarang situasi.

Ya pengalaman bermain di luar negara banyak bantu saya terutamanya dari segi ketenangan dan pernafasan ketika situasi penalti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aksi terbaik yang dipamerkan oleh Azurin turut menyaksikan beliau telah dipilih sebagai Pemain Terbaik pada perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Azurin yang juga merupakan penjaga gol utama pasukan kebangsaan Malayan Tigress turut mengintai peluang untuk kembali menyarung jersi negara sekiranya mendapat peluang.

“Kalau ada peluang insyaAllah saya akan terpilih tapi semuanya bergantung kepada ketua jurulatih. Tapi saya harap pemain-pemain yang terpilih akan memberikan 100% untuk negara.”