Persiapan perlawanan akhir mungkin terjejas sedikit kerana ada pemain akan ke kem latihan negara – Hairul Nizar

167

Ketua jurulatih UPNM, Hairul Nizar Nur Halim gembira apabila pasukannya berjaya mara ke perlawanan akhir FAS Womens Super League (WSL) selepas menewaskan FC Spicegals dalam penentuan penalti malam tadi.

Disebalik kegembiraan berjaya mara ke perlawanan akhir, Hairul sedikit gusar untuk persiapan pasukannya apabila beliau menjangkakan beberapa pemainnya akan dipanggil untuk menyertai kem latihan Malayan Tigress.


“UPNM akan beri terbaik untuk perlawanan akhir. Saya juga mungkin akan mengalami sedikit masalah untuk kumpulkan semua pemain kerana ada yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan negara nanti.

Jadi, saya harap di sana mereka akan kekalkan tahap kecergasan untuk persediaan perlawanan akhir nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk perlawanan akhir, UPNM akan menentang MBSJ FC yang dijadual akan berlangsung pada 19 Mac ini.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan malam tadi, beliau mengakui perancangan awal mereka adalah cuba untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 70 minit perlawanan tetapi gagal berbuat demikian.

“70 minit kita tengok UPNM memang menguasai perlawanan, cuma bukan rezeki untuk menang dalam tempoh perlawanan sebenar.

Kalau kita tengok berapa banyak peluang pemain kita dapat tapi gagal menjaringkan gol. Tapi Alhamdulillah di penentuan penalti Azurin telah buktikan beliau adalah penjaga gol terbaik negara.”

Beliau juga mendedahkan tidak membuat persedian untuk pemilihan pemain yang akan mengambil sepakan penalti, sebaliknya beliau memilih pemain yang mempunyai keyakinan untuk berdepan situasi getir itu.