Intan Serah luah keinginan mahu main di bawah ketua jurulatih Malayan Tigress yang baru

1,168

Pemain bola sepak wanita popular, Intan Serah mengakui beliau masih meletak harapan untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan Malayan Tigress sekiranya diberi peluang lagi.

Menurut Intan atau nama sebenarnya Intan Serah Anisah Zulgafli, apa yang membuatkannya teruja untuk kembali bersama skuad negara adalah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan rombakan dalam pengurusan bola sepak wanita termasuk membawa masuk ketua jurulatih baru iaitu Soleen Al Zou’bi.


“InsyaAllah kalau diberi peluang untuk saya mewakili negara memang saya nak sangat main bersama pasukan kebangsaan dengan pengurusan baru yang membawa strategi dan taktikal yang baru untuk bola sepak moden di Malaysia. Saya sangat teruja kalau dapat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Intan merupakan seorang pemain bola sepak wanita yang cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana beliau bukan sahaja bermain bola sepak padang, tetapi juga bermain futsal di peringkat tertinggi.

Beliau bagaimanapun kini lebih ke arah bola sepak padang dan kini merupakan pemain untuk kelab Kelana United FC yang bersaing dalam saingan FAS Womens Super League.

Dalam pada itu, beliau juga bersyukur apabila usahanya untuk mempromosikan bola sepak wanita berjaya apabila kini bola sepak wanita semakin berkembang.

“Saya harap dengan apa yang saya cuba buat untuk mempromosikan bola sepak kepada wanita di luar sana harap berjaya kerana sekarang ini saya melihat perkembangan semakin meluas dan banyak ibu bapa yang DM cakap anak mereka suka lihat saya bermain bola sepak dan mahu jadi seperti saya satu hari nanti.

Jadi saya berasa bangga dan gembira dengan perkembangan bola sepak wanita ketika ini.”

Sementara itu, difahamkan pengendali skuad senior Malayan Tigress dijangka akan mengeluarkan senarai pemain-pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan berpusat dalam masa terdekat ini.