Chibii anggap dipilih wakili Malaysia ke Sukan SEA sebagai hadiahnya buat keluarga dan Homebois
Pemain e-sports Homebois iaitu Muhammad ‘Chibii’ Nazhan meluahkan rasa bersyukurnya apabila terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia untuk kejohanan Mobile Legends di temasya Sukan SEA Kemboja.
Menurut Chibii, beliau menganggap pemilihannya dalam skuad negara sebagai hadiah buat keluarganya yang sentiasa menyokong kariernya sebagai seorang pemain e-sports dan juga hadiah buat pasukannya Homebois.
“Alhamdulillah saya tak sangka dapat terpilih, mungkin rezeki saya. Jadi saya akan buat yang terbaik.
Ini adalah hadiah untuk keluarga dan juga untuk Homebois sendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Chibii yang kini sedang beraksi dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) musim ke-11 merupakan antara Jungler terbaik di Malaysia ketika ini.
Beliau bersama rakan sepasukannya memulakan musim 2023 mereka dengan langkah kanan apabila berjaya memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan selepas menewaskan juara bertahan The Haq dan Team Secret sebentar tadi.
Dalam pada itu, penganalisis pasukan iaitu Saiful pula berkata saingan pada musim kali ini sengit walaupun mereka berjaya menang dalam kedua-dua perlawanan.
“Kalau perlawanan pertama bukan hendak nak kata mudah, tapi kami berjaya menang tanpa sebarang masalah.
Bagaimanapun untuk perlawanan kedua sebentar tadi, ia memang satu perlawanan yang sukar kerana pasukan lawan lebih tertatur, tapi kami kekalkan disiplin dan sabar menunggu pihak lawan membuat kesilapan sebelum kami ambil kesempatan dari ruang tersebut.”
Tambahnya lagi, untuk musim ini pasukannya berada pada tahap yang baik kerana mereka bukan sahaja melakukan persiapan rapi sebelum kejohanan bermula, tetapi juga membawa beberapa muka baru untuk memperkuat pasukan.
Antara paling menjadi tumpuan adalah kemasukan selebiriti e-sports Soloz yang kembali bersaing dalam kejohanan MPL Malaysia dan juga pemain import dari Indonesia iaitu Barbossa.
Homebois pada masa sama turut membawa jurulatih baru dari Filipina iaitu Steve “Dale” Vitug.
Percaturan pasukan Homebois ketika ini tampak cukup ampuh dan mereka adalah salah sebuah pasukan pilihan untuk menjadi juara MPL Malaysia musim ke-11.