Masa saya main dulu stadium ini selalu penuh, sekarang macam tiada atmosfera – Lim Teong Kim
Ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menyeru penyokong untuk memenuhi stadium pada perlawanan akan datang untuk membantu membangkitkan semangat anak-anak buahnya.
Katanya, situasi di Stadium Perak ketika ini tidak sama ketika zaman beliau bermain di mana ketika itu stadium sentiasa dipenuhi oleh jumlah penyokong yang ramai.
“Masa saya main dahulu stadium sentiasa penuh tetapi sekarang macam tiada atmosfera, saya pun tak biasa keadaan stadium macam ini.
Jika ada atmosfera yang baik di dalam stadium, saya pasti semangat dan kesungguhan pemain akan menjadi lebih tinggi,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Kuching City FC di Stadium Perak sebentar tadi.
Beliau mengakui, kehadiran para penyokong amat penting buat pasukannya menunjukkan prestasi yang baik.
Sementara itu, Teong Kim berkata kemenangan sulung pasukannya dalam saingan Liga Super 2023 itu adalah disebabkan para pemain berjaya menyudahkan peluang yang dicipta.
“Sebelum ini pun kami bermain seperti malam ini cuma pada hari ini kita sudahkan peluang yang kita ada.
Jadi saya harap selepas ini mereka akan terus sudahkan peluang yang dicipta.”
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak bersabar dan tidak meletakkan tekanan yang begitu tinggi terhadap para pemain untuk melihat hasil.
Katanya, skuadnya dibarisi ramai pemain muda dan tekanan yang tinggi dari semua pihak tidak akan membantu pemain berkembang.